Penoreh getah hilang pendapatan selepas hidap strok

Zamzuri (kiri) menyerahkan sumbangan Econsave Prihatin kepada Mohd Khobil (tiga kiri) di Kampung Kubang Besar, Pokok Sena pada Rabu. Turut kelihatan Norzamila (kanan).
Zamzuri (kiri) menyerahkan sumbangan Econsave Prihatin kepada Mohd Khobil (tiga kiri) di Kampung Kubang Besar, Pokok Sena pada Rabu. Turut kelihatan Norzamila (kanan).
A
A
A

POKOK SENA - Seorang penoreh getah hilang pendapatan sejak September lalu selepas diserang strok pada malam sambutan hari kebangsaan sehingga dia terlantar di atas katil sahaja.

Mohd Khobil Hamid, 64, dari Kampung Kubang Besar, di sini, berkata, selepas diserang penyakit tersebut, dia diberikan rawatan selama seminggu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar sebelum dibenarkan pulang.

Menurutnya, dia kehilangan punca pendapatan hampir empat bulan lalu manakala isterinya, Che Ah Harun, 62 pula seorang suri rumah.

"Sebelum ini saya mampu memperoleh pendapatan sehingga RM500 sebulan hasil mengambil upah menoreh getah bagi menampung kehidupan saya dan isteri.

"Namun selepas diserang strok pada malam hari merdeka pada hujung Ogos lalu, saya tidak dapat bekerja dan syukur mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Pokok Sena dan pasar raya Econsave," katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Besar pada Rabu.

Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan Penolong Pegawai JKM daerah Pokok Sena, Norzamila Md Zain dan Pengurus Besar Pasar Raya Econsave Bahagian Utara 1, Zamzuri Mansor.

Mohd Khobil berkata, mereka mempunyai dua anak lelaki dan seorang anak perempuan yang kesemuanya sudah berumah tangga yang turut membantu walaupun ada dalam kalangannya hanya bekerja kampung.

Sementara itu, Norzamila memberitahu, Mohd Khobil akan menerima bantuan pesakit terlantar sebanyak RM500 sebulan dan permohonannya sedang dalam proses.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, kes pesakit ini sudah pun berada di dalam perhatian pihaknya dan bantuan tersebut selewat-lewatnya akan dimasukkan pada penghujung Januari depan.

Bagi Zamzuri pula, bantuan sumbangan keperluan rumah dan barangan dapur bernilai RM1,000 disumbangkan kepada Mohd Khobil menerusi bantuan Econsave Prihatin.

Menurutnya, maklumat berkenaan pesakit terlantar tersebut telah dimaklumkan oleh JKM daerah Pokok Sena kepada pihaknya sebelum Econsave turun padang untuk menyalurkan sumbangan.