13 PATI Myanmar gagal seludup masuk ke Malaysia

Seramai 13 PATI warga Myanmar telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Changlun untuk tindakan lanjut. - Foto Polis Kedah
Seramai 13 PATI warga Myanmar telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Changlun untuk tindakan lanjut. - Foto Polis Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 13 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar yang cuba meloloskan diri ke negara ini berjaya dicekup sepasukan pegawai dan anggota cawangan khas (Bahagian E6) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di kawasan Napoh, Changlun pada pagi Rabu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, semua PATI melibatkan 12 orang lelaki dan seorang wanita ditahan di dalam dua buah kereta jenis Perodua Alza dan Perodua Aruz yang dipandu oleh tiga lelaki warga tempatan pada jam 6.30 pagi.

Menurutnya, kejayaan tersebut adalah hasil risikan dan intipan polis di kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam yang berjaya mengesan dua kenderaan yang berhenti di kawasan berhampiran tangki air kawasan tersebut.

"PATI warganegara Myanmar yang bersembunyi di kawasan semak kemudiannya telah menaiki kereta tersebut.

"Setelah mengekori kedua-dua kenderaan hingga di kawasan Napoh, pasukan polis telah bertindak menahan kenderaan itu.

"Kesemua PATI tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah serta tiga lelaki warga tempatan yang berperanan sebagai tekong darat dan 'transporter' telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Changlun untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mereka baru sahaja memasuki negara ini melalui lorongtikus di Sempadan Malaysia -Thailand dan dikenakan bayaran sebanyak RM4,000 kepada seorang lelaki warga Myanmar yang berada di Danok, Thailand.

Menurutnya, bagi ejen 'transporter' pula, kesemuanya dikenakan bayaran RM800 setiap kereta untuk dibawa bekerjadi kawasan Sungai Lembu di Kulim.

Artikel Berkaitan:

"Tangkapan PATI bersama tekong darat dan 'transporter' ini merupakan kejayaan cawangan khas Kedah dalam usaha membendung kemasukan semula PATI ke Malaysia selepas berakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah pemerdagangan manusia boleh menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak polis bagi memastikan aktiviti ini dapat ditumpaskan sepenuhnya," ujarnya.