Mahkamah tolak permohonan kerajaan tangguh perintah isu kerakyatan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Rabu menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi berhubung isu kerakyatan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, sementara menunggu keputusan rayuan.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said dalam keputusan sebulat suara berkata, mahkamah tidak diyakinkan terdapat keadaan khas untuk Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan yang dimohon oleh kerajaan.

"Ini bukan penangguhan kes biasa melibatkan penghakiman barang atau wang. Ia melibatkan hak anak dan hak ini telah diiktiraf oleh perintah Mahkamah Tinggi.

“Pada pendapat kami, keadaan adalah mendesak dan responden (Family Frontiers dan enam wanita warga Malaysia) tidak sepatutnya disekat daripada mendapat manfaat penghakiman pengisytiharan Mahkamah Tinggi.

"Permohonan kerajaan untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi ditolak tanpa perintah berhubung kos," kata Hakim Kamaludin, yang bersidang bersama Datuk S Nantha Balan dan Datuk See Mee Chun dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin mewakili perayu manakala peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, Joshua Andran dan Abraham Au mewakili responden.

Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selaku perayu memfailkan permohonan penangguhan sementara menunggu pendengaran rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing adalah berhak mengikut undang-undang menjadi warganegara Malaysia.

Mahkamah Rayuan menetapkan 23 Mac tahun depan untuk mendengar rayuan perayu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Artikel Berkaitan:

Pada 9 September lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan saman pemula Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing bagi membolehkan anak mereka yang dilahirkan di luar negara mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Dalam saman pemula itu, mereka memohon enam perintah mahkamah termasuk deklarasi bahawa Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan Perkara 8 (2) bagi memasukkan ibu rakyat Malaysia sebagai syarat untuk anak yang dilahirkan di luar negara diberikan kerakyatan Malaysia secara automatik.

Antara lain, mereka memohon mahkamah mengeluarkan perintah kepada semua agensi kerajaan berkaitan termasuk JPN, Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia agar mengeluarkan semua dokumen membabitkan kerakyatan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibunya iaitu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing. - Bernama