Pencemaran toksik: Kerajaan negeri bidas pembangkang

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (dua, kiri) dan Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian (dua, kanan) menunjukkan penutup mulut dan hidung yang sesuai digunakan oleh orang ramai ekoran berlakunya pencemaran udara daripada pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim selepas menghadiri mesyuarat dan sidang media di Menara Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), semalam. - Foto Bernama
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian membidas kritikan pembangkang yang mendakwa kononnya kerajaan negeri lambat bertindak dalam menangani isu pencemaran toksik akibat pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, dekat sini.

Ditemui pemberita selepas melawat mangsa kejadian di Hospital Sultan Ismail (HSI), malam ini, beliau menegaskan langkah awal dalam menangani isu itu telah pun dilaksanakan sejak hari pertama kejadian, Khamis lalu.

Selain bantuan kepada mangsa, keluarga dan petugas keselamatan, katanya, langkah menyeluruh diambil termasuk menyediakan peruntukan RM6.4 juta bagi kerja-kerja pembersihan Sungai Kim Kim.

“Benda ini daripada awalnya dalam pengetahuan kita. Yang dia (pembangkang) tidak tahu, sama ada dia turun padang atau tidak. Dia hanya buat andaian sahaja, buat ramalan secara rambang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab kritikan bekas menteri besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas exco kesihatan negeri, Datuk Ayub Rahmat yang mendakwa kerajaan negeri lemah dan bersikap acuh tidak acuh dalam menangani isu tersebut.

Osman berkata pembangkang seharusnya bersama-sama membantu kerajaan negeri menangani isu itu dan bukan hanya mengkritik atau menakut-nakutkan rakyat.

“Yang ini baru pemimpin yang setia pada rakyat. Kritik nak buat apa? Tak bawa apa-apa perubahan tetapi hanya semata-mata untuk meraih keuntungan politik...itu sahaja dia punya motif,” katanya.

Terdahulu, beliau yang tiba di hospital itu pada 9.15 malam meluangkan masa hampir sejam untuk melawat mangsa yang dirawat di hospital berkenaan.

Sebelum itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut melawat mangsa di hospital berkenaan.- Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia