Noh Omar bidas kenyataan Amirudin

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri, Tan Sri Noh Omar membidas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung mendapat panggilan untuk mempengerusikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor ekoran bencana banjir di negeri tersebut.

Ujar Noh, kenyataan yang dikeluarkan oleh Amirudin itu seolah-olah menyalahkan beliau menghalangnya untuk bertindak menyelesaikan isu banjir.

"Sekarang ini beliau kata akan kembali sebagai Pengerusi MKN menggantikan saya.

"Sebenarnya itu tidak betul. Beliau bukan menggantikan saya. Saya masih lagi Pengerusi Pengurusan Keselamatan.

"Yang beliau ganti itu, tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SS) yang diambil alih iaitu di bawah Arahan MKN 20," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, media melaporkan Amirudin akan kembali semula mempengerusikan MKN Selangor pada Rabu.

Mengulas lanjut, Noh menjelaskan bahawa terdapat dua arahan melibatkan fungsi tugas dalam MKN iaitu Arahan MKN No.1 dan Arahan MKN No. 20.

Menurutnya, Arahan MKN No.1 berfungsi dalam pengurusan keselamatan manakala Arahan MKN No. 20 pula fokus pengurusan bencana.

Artikel Berkaitan:

"Apabila ada dua arahan ini, ia menunjukkan bahawa dua jawatankuasa dan saya dilantik di bawah arahan pengurusan keselamatan negara (Arahan MKN No.1). Fungsi saya hanya tertumpu pada keselamatan sesuai dengan akta keselamatan negara.

"Sepatutnya Menteri Besar tengok ialah arahan nombor 20 iaitu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ketika melakukan tinjauan kawasan banjir baru-baru ini, beliau terkejut apabila mendapati keadaan persiapan begitu kelam-kabut dan tidak teratur kerana banyak kemudahan tidak disediakan untuk mangsa banjir.

"Saya nak tegaskan bahawa tugas itu sebenarnya ialah tanggungjawab kerajaan negeri seperti di bawah Arahan MKN No. 20.

"Kalau Menteri Besar Selangor faham arahan itu, mungkin dia boleh bersedia," jelasnya.