Tergugat dengan ‘kerajaan menunggu’ UMNO-Pas?

Mohd Raqib Abu Hassan
Mohd Raqib Abu Hassan
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir didakwa gusar melihat kejayaan kerjasama UMNO-Pas di Kedah yang boleh diibaratkan sebagai ‘kerajaan menunggu’ untuk ambil alih pentadbiran negeri sekiranya berlaku perubahan politik luar jangka di negeri ini.

Naib Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohd Raqib Abu Hassan berkata, sudah semestinya Mukhriz gentar kerana UMNO dan Pas lebih berpengalaman memerintah Kedah, berbanding Bersatu bawah pimpinannya.

"Ini membuatkan Mukhriz merasakan kedudukan Bersatu dalam arena politik negara bakal tergugat dengan kerjasama UMNO-Pas. Lubuk Pas adalah Kelantan dan Kedah, undi dan sokongan perpaduan orang Melayu dan Islam akan mudah diperoleh menerusi kerjasama ini.

“Malah kerjasama UMNO dan Pas ini juga merupakan nostalgia dalam membela perjuangan rakyat, sama seperti zaman memperjuangkan kemerdekaan dahulu,” katanya.

Mohd Raqib berkata, disebabkan itu bentuk kerjasama boleh digambarkan sebagai ‘kerajaan menunggu’, bukannya sebagai pembangkang.

“Saya percaya pergolakan dalaman PH yang tidak stabil memberi kerisauan kepada Mukhriz, ditambah pula dengan tindakan ahli parti yang menghina Islam dan institusi raja,” katanya.

Menurutnya, kenyataan Mukhriz yang meragui kerjasama UMNO dan Pas ini juga adalah susulan kebimbangan Timbalan Presiden Bersatu itu terhadap kebangkitan rakyat Kedah kebelakangan ini.

“Ini adalah reaksi ketakutan rentetan Perhimpunan Ummah UMNO dan Pas yang berjaya menggerakkan ribuan umat Islam di Kedah berhimpun dan menyerahkan memorandum kepada Sultan Kedah di Istana Anak Bukit, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Tidak mustahil rakyat akan melakukan perkara sama terhadap beliau,” katanya.

Mohd Raqib berkata, perkembangan itu mampu menggugat kedudukan Mukhriz sebagai menteri besar, apatah lagi ramai menyedari beliau sering berada di luar kawasan dan negeri ini.

“Sejak dahulu lagi, politik dan pentadbiran di Kedah sering bertukar ganti antara UMNO dan Pas, dua buah parti lebih berpengalaman berbanding Bersatu.

"Mukhriz juga tidak memahami konsep kerjasama UMNO-Pas iaitu Ta'awun Siyasi, atas dasar penyatuan ummah tanpa ketepikan hak dan kebajikan orang bukan Islam. Ini teras kerjasama diambil daripada model kewujudan negara Islam Madinah oleh Rasulullah SAW,” katanya.

Menurutnya, kemungkinan Mukhriz juga gagal memahami sejarah UMNO walaupun pernah menyertai parti itu, di mana kerjasama UMNO-Pas sudah lama berlaku sejak 1974.