Kenaikan harga barang cabaran utama KPDNHEP bantu pengguna

Kenaikan harga barangan pengguna dan makanan menjadi cabaran utama bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tahun ini, selain isu harga Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri). - Foto hiasan
Kenaikan harga barangan pengguna dan makanan menjadi cabaran utama bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tahun ini, selain isu harga Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri). - Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenaikan harga barangan pengguna dan makanan menjadi cabaran utama bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tahun ini, selain isu harga Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri).

Walaupun tiada kenaikan harga yang ketara pada awal tahun ini, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) masih dilaksanakan semasa perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan sambutan Hari Gawai.

Namun menjelang akhir tahun, harga barangan mula menunjukkan kenaikan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, kenaikan harga itu berpunca daripada beberapa faktor termasuk kembalinya aktiviti perniagaan seperti restoran dan gerai makan, sekali gus menyebabkan peningkatan permintaan barangan asas.

Menyedari keadaan itu, KPDNHEP segera memperkenalkan penyelesaian jangka pendek untuk kenaikan harga barang keperluan dan makanan, Jualan #Keluarga Malaysia, yang menawarkan harga lebih rendah sehingga 20 peratus, dilaksanakan secara berperingkat di semua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.

Jualan #Keluarga Malaysia itu dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dataran Perpustakaan Lembah Pantai di sini pada 2 Disember lalu.

Dalam usaha lain untuk membantu pengguna, kerajaan memutuskan untuk membenarkan import ayam, yang dijangka dapat menurunkan harga bahan makanan yang menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia.

Pada 5 Disember, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, kementerian juga mengkaji semula harga maksimum ayam standard bagi jualan runcit pada RM9.30 sekilogram (kg) dan pemborong (RM8 sekg), pada masa akan datang sekiranya harga ayam di pasaran negara kembali pulih seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bagi menstabilkan harga barang keperluan dan memastikan bekalan mencukupi di pasaran, kerajaan mengumumkan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang berkuat kuasa dari 7 hingga 31 Disember di seluruh negara.

Antara barangan disenaraikan di bawah skim itu ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kubis bulat import (dari Indonesia dan China) serta timun.

Pada November, muncul laporan kenaikan harga sayur sehingga mendorong KPDNHEP melancarkan Ops Pasar (Sayur 2) di seluruh negara mulai 27 November untuk menyiasat laporan kenaikan harga sayur, yang didakwa mencecah sehingga 200 peratus.

Kementerian bagaimanapun menjangka harga barangan keperluan harian akan stabil sepenuhnya menjelang Januari berikutan pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan mendapati harga barangan sudah mulai stabil dengan sayur-sayuran mula menunjukkan penurunan harga.

Sementara itu, semasa negara berdepan pandemik Covid-19, bekalan dan harga RTK Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri) turut mendapat perhatian.

Bagi menjamin bekalan sentiasa mencukupi di pasaran, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan mewartakan kit ujian itu di bawah Perintah Kawalan Bekalan (Barang-Barang Kawalan) (No.6) 2021 pada 24 November lalu dan dikuatkuasakan pada 1 Disember 2021.

Berdasarkan maklum balas daripada agensi berkaitan, kerajaan menetapkan harga siling runcit untuk kit ujian pada RM19.90 setiap set, berkuat kuasa 5 September dan memberi masa seminggu kepada peniaga untuk menyelaras harga.

Harga siling borong untuk kit ujian itu juga telah ditetapkan pada RM16 setiap set. - Bernama