RM438,000 wang simpanan guru lesap angkara 'Tuan Chong'

Gambar kecil: Mohd Wazir
Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang guru wanita terkedu apabila baki wang simpanan di dalam akaun banknya hanya tinggal RM132.31 setelah mendapati lebih RM438,000 wangnya lesap selepas berurusan dengan seorang 'pegawai polis' berkaitan proses ikat jamin setelah namanya dikaitkan dengan kes penipuan tuntutan insurans dan pengubahan wang haram pada Ogos lalu.

Mangsa yang berusia 44 tahun itu hanya menyedari kehilangan wangnya selepas membuat semakan terhadap baki akaun banknya pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian menimpa mangsa bermula selepas dia menerima panggilan daripada seorang individu memperkenalkan diri sebagai ejen insurans, 11 Ogos lalu.

Menurutnya, mangsa dimaklumkan telah terlibat dalam penipuan tuntutan insurans berjumlah RM76,000 dan kes itu dalam tindakan pihak polis.

"Kes tersebut kemudiannya dirujuk kepada pegawai polis berpangkat Sarjan Mejar kononnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang melalui sambungan panggilan.

"Mangsa kemudian dimaklumkan bahawa dia juga dikehendaki polis kerana terlibat dengan satu kes pengubahan wang haram bernilai RM2.8 juta.

"Mangsa yang panik ditawarkan penyelesaian melalui pegawai polis bernama Tuan Chong," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Wazir berkata, ketika berurusan dengan Tuan Chong, mangsa diarahkan untuk membayar wang ikat jamin berjumlah RM600,000.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa juga diminta membuka akaun bank baharu dan semua wang di dalam akaun bank lain perlu dipindahkan ke akaun tersebut selain menghantar gambar kad bank serta buku akaun bagi tujuan pemantauan," jelasnya.

Menurutnya, selepas mangsa membuat semakan akaun bank itu pada Selasa, dia menyedari wang simpanannya sudah lesap.

"Mangsa telah dimaklumkan oleh pihak bank berlaku 26 transaksi pemindahan wang dari akaun banknya ke akaun milik individu tidak kenali berjumlah RM438,900 sejak September hingga Isnin lalu.

"Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Nenasi, Pekan pada Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," jelasnya.