Tuah Kai Wun-Wei Chong di Denmark

Kai Wun (kiri) dan Wei Chong lulus ujian pertama setelah menewaskan pasangan Perancis dalam saingan awal Kejohanan Badminton Dunia di Denmark pada Selasa. - Foto Badminton Photo
Kai Wun (kiri) dan Wei Chong lulus ujian pertama setelah menewaskan pasangan Perancis dalam saingan awal Kejohanan Badminton Dunia di Denmark pada Selasa. - Foto Badminton Photo
A
A
A

BEREGU lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun boleh menarik nafas lega apabila melepasi ujian pertama dalam penampilan sulung Kejohanan Badminton Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark pada Selasa.

Mereka menang straight set 21-17, 21-18 ke atas pasangan Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar dalam saingan yang berlangsung di Royal Arena dalam tempoh 42 minit permainan.

Tuah turut mengiringi Wei Chong-Kai Wun apabila 'melompat' terus ke pusingan ketiga setelah lawan mereka yang mendapat bye di pusingan pertama, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho dari Korea Selatan menarik diri.

Mereka yang layak ke kejohana itu pada saat akhir bakal membuat perhitungan dengan pemenang di antara satu lagi wakil Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov atau pilihan ketiga dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang pada pusingan ketiga.

Dalam pada itu, dua beregu wanita, Anna Cheong-Teoh Mei Xing dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien turut menceriakan kem badminton negara apabila menundukkan lawan masing-masing pada pusingan pertama.

Anna-Mei Xing lulus ujian pertama selepas mengalahkan pasangan Amerika Syarikat, Annie Xu-Kerry Xu 21-14, 21-18.

Menanti mereka pada pusingan kedua ialah pilihan kelapan dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai.

Vivian-Chiew Sien pula mudah menewaskan Moa Sjoo-Tilda Sjoo dari Sweden 21-14, 21-12.

Artikel Berkaitan:

Mereka dijadualkan membuat perhitungan dengan pilihan kelima dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota selepas ini.

Bagaimanapun nasib berbeza buat perseorangan wanita profesional, Goh Jin Wei yang terpaksa akur tersingkir awal daripada kejohanan itu.

Impian Jin Wei untuk mengejutkan pilihan utama dari Korea Selatan, An Se Young musnah setelah dia tewas 12-21, 14-21.