Bukan 'nilai' sebenar Harimau Malaya

Barisan pemain yang menggalas cabaran Harimau Malaya pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura. - Foto Facebook FAM (Gambar kecil: Effendi)
Barisan pemain yang menggalas cabaran Harimau Malaya pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura. - Foto Facebook FAM (Gambar kecil: Effendi)
A
A
A

KELIBAT barisan pemain Harimau Malaya pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura tidak boleh dijadikan sebagai kayu pengukur 'saham' mereka di pasaran.

Menurut Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah, penilaian tidak hanya dibuat hanya bergantung kepada prestasi yang dipamerkan dalam sesuatu kejohanan.

“Memang tidak dinafikan ada beberapa pemain negara beraksi baik pada Piala Suzuki AFF di Singapura. Situasi itu menyebabkan ada pihak mula membuat penilaian harga pemain berkenaan.

“Tetapi harus diingatkan tidak semudah itu penilaian harga pemain dibuat. Banyak lagi aspek yang menjadi pertimbangan setiap pasukan sebelum mendapatkan pemain berkenaan.

“Paling penting pasukan yang terlibat akan memantau prestasi pemain itu sepanjang musim dan bukannya sekadar menilai dalam satu kejohanan sahaja,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Effendi Jagan dianggap antara ejen pemain yang cukup berpengalaman dan beliau pernah membawa masuk beberapa pemain import terbaik dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) seperti Juan Manuel Arostegui, Bruno Martelotto dan Marlon Alex James.

Melihatkan beberapa pasukan Liga-M sudah mula merangka strategi untuk mendapatkan khidmat pemain yang dihajati, beliau mengingatkan semua pihak agar merancang perbelanjaan dengan berhemah.

“Bagi mendapatkan pemain terbaik dan berkualiti, sudah tentu nilainya tinggi. Tetapi saya perlu menjelaskan bahawa mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan pemain berkualiti, perlu betul-betul selidik status pemain itu.

Artikel Berkaitan:

“Tak salah untuk mendapatkan pemain terbaik dan berkualiti bagi menguatkan pasukan. Tetapi apa yang salah, apabila pasukan itu berbelanja di luar kemampuan mereka.

“Jadi penilaian harga seseorang pemain itu penting sebelum kontrak ditawarkan. Paling penting, adakah bayaran kepada pemain itu berbaloi kepada pasukan,” ujarnya.

Mengulas berhubung masih banyak pasukan Liga-M yang bergelut bagi mencari pembeli setelah proses penswastaan dilaksanakan, Effendi Jagan berkata, ketika ini bukan masa sesuai untuk pasukan mendapatkan pemilik baharu.

“Kebanyakan pasukan masih bergelut untuk mendapatkan pembeli. Ini disebabkan situasi semasa pasukan bola sepak yang tidak mempunyai nilai komersial yang mampu menarik pembeli.

“Lagi pun, masih ada pasukan yang menagih dana daripada pihak kerajaan negeri. Mereka sepatutnya bergerak sendiri sebelum penswastaan penuh pada 2023 nanti,” jelasnya.