Mangsa banjir perlu diberi moratorium penuh

Penduduk Pangsapuri Perdana membersihkan kelengkapan rumah yang rosak dan diselaputi lumpur selepas kediaman mereka dinaiki air ketika tinjauan di Seksyen 13 pada Isnin. - Foto Bernama
Penduduk Pangsapuri Perdana membersihkan kelengkapan rumah yang rosak dan diselaputi lumpur selepas kediaman mereka dinaiki air ketika tinjauan di Seksyen 13 pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu mempertimbang pemberian moratorium secara menyeluruh sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan untuk membantu rakyat yang terjejas akibat banjir di seluruh negara, kata Felo Institut Kajian Analisis Politik Malaysia, Md Shukri Shuib.

Beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Kewangan perlu menyediakan pemberian moratorium itu untuk memastikan kumpulan ini tidak terbeban dengan masalah kewangan yang dihadapi ketika ini.

Bagaimanapun, menurutnya, kerajaan perlu memastikan pemohon menyediakan dokumentasi sebagai membuktikan mereka adalah mangsa banjir.

“Ini berikutan institusi perbankan mempunyai dana pengukuhan di mana sekiranya mereka menyediakan pemberian moratorium itu tanpa menjejaskan keuntungan institusi perbankan itu,” katanya menerusi program Koresponden Bernama pada Isnin.

Sementara itu, Md Shukri berkata, semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan perlu bersama-sama membantu mereka yang terjejas akibat banjir.

Sebagai contoh, katanya, kerajaan perlu menyediakan satu mekanisme baharu antaranya menyediakan bengkel panel khas untuk membaik pulih kenderaan yang tenggelam akibat banjir.

“Ini akan membantu mangsa, sekali gus memberikan (peluang kepada) sektor automotif untuk berkembang. Ia juga memberi peluang kepada graduan lepasan bidang automotif untuk menggunakan kemahiran mereka bagi membantu dan membaiki kenderaan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: