187 orang dipindahkan akibat banjir di Nabawan

Seramai 187 orang dipindahkan akibat banjir yang melanda daerah Nabawan, pagi ini.
Seramai 187 orang dipindahkan akibat banjir yang melanda daerah Nabawan, pagi ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 187 orang daripada 51 keluarga dipindahkan akibat banjir yang melanda daerah Nabawan, pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memberitahu semua mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Gereja SIB Salarom Baru yang dibuka pukul 12.30 tengah malam tadi.

"Trend pemindahan mangsa banjir adalah kekal pada pagi ini. Banjir dipercayai akibat hujan lebat berterusan bermula petang semalam," menurut kenyataan itu di sini pada Sabtu.

Nabawan ialah sebuah daerah di kawasan pedalaman Sabah terletak kira-kira 195 kilometer ke arah selatan dari Kota Kinabalu yang mengambil masa empat hingga lima jam perjalanan antaranya merentas Banjaran Crocker.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan memberitahu hanya satu jalan iaitu Jalan Pamuntarian-Kabu Baru di Nabawan tidak boleh dilalui akibat ditenggelami air dalam kejadian banjir dan tiada jalan alternatif boleh digunakan pengguna jalan raya buat masa ini.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia pada jam 5 pagi Sabtu mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di kawasan pantai barat negeri ini terutama Kota Belud dan Kudat hingga 9 pagi ini. - Bernama