Banjir: Kesan emosi lebih membebankan

Beberapa penduduk dibawa keluar daripada kawasan tersebut menggunakan bot orang awam di Pekan Linggi Sabtu lalu. - Foto Bernama
Beberapa penduduk dibawa keluar daripada kawasan tersebut menggunakan bot orang awam di Pekan Linggi Sabtu lalu. - Foto Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - “Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul” - itulah peribahasa yang terlintas di hati barang siapa yang menginsafi nasib rata-rata penduduk dan peniaga di Pekan Linggi di sini yang terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit akibat musibah banjir yang menimpa kawasan itu Sabtu lalu.

Jalan raya, premis kedai, kenderaan, ternakan, tanam-tanaman, malah bangunan rumah untuk tempat berteduh - semuanya rosak, musnah, atau hilang, sehingga ada dalam kalangan penduduk sini yang tinggal sehelai sepinggang akibat malapetaka ini.

Seorang pemilik kedai makan, Saharani Yunus, 44, ketika ditemui berkata, emosinya sangat terkesan dengan bencana yang melanda, namun beliau reda dengan kejadian banjir terburuk yang menimpa.

“Hampir keseluruhan kedai makan ini musnah, termasuk peti penyejuk beku, peti ais, dapur serta meja dan kerusi pula hilang dihanyut banjir. Ketika kejadian kami masih lagi berniaga, namun menjelang 12 tengah malam, saya tengok air sungai di belakang kedai makin tinggi, semuanya berlaku dengan pantas, tak sempat selamatkan.

“Sebelum ini kalau kejadian banjir kami sempat pindahkan barang eletrik ke tempat selamat tetapi tidak kali ini dan melihat kepada keadaan ini, saya rasa kerja pembersihan ini akan ambil masa lebih seminggu dan kemungkinan kedai hanya boleh beroperasi tahun depan,” katanya.

Pemilik kedai perkakasan, Yap Son Nar, 70, pula berkata, kerugian yang dialaminya mungkin mencecah ratusan ribu ringgit apabila kebanyakan barang di dalam kedainya musnah akibat banjir itu.

“Selama yang saya tinggal di sini, banjir kali ini adalah paling teruk, sebelum ini hanya paras betis tetapi kali ini boleh dikatakan paras kepala saya, walaupun kedai saya agak tinggi. Malam kejadian kedai telah tutup, saya ada di rumah ketika itu hanya teringatkan kedai sahaja, memang tak dapat tidur,” katanya yang menetap di Taman Linggi.

Sementara itu tinjauan di Seremban mendapati anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dilihat gigih membantu membersihkan lokasi terjejas banjir di pusat Giat Mara sejak awal pagi memandangkan kawasan itu turut dilanda banjir teruk.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Syukri Madnor ketika ditemui berkata, seramai lebih 150 anggota APM termasuk sukarelawan kor siswa siswi Pertahanan Awam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) digerakkan bagi membantu membersihkan kediaman mangsa banjir mulai Selasa.

Sementara itu, seorang penternak, Abdul Aziz Mohd Reedza, 42, berkata, dia sempat memindahkan 60 rusa dan tiga lembunya ke halaman kediaman yang lebih tinggi berikutan kandang di belakang rumahnya ditenggelami air.

Mengakui panik ketika kejadian yang disifatkan terburuk pernah dialaminya, Abdul Aziz berkata, seekor anak rusanya mati sewaktu proses menyelamatkan ternakan itu.

“Malam Sabtu semasa nak pindah paras air di kawasan kandang memang dah tinggi sebab hujan tak henti, agak hampir tenggelam, tetapi rusa-rusa ini boleh berenang, ketika itu memang di fikiran hanya nak selamatkan ternakan ini,” katanya. - Bernama