Mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 32,642

Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) menggerakkan operasi membantu memindahkan mangsa banjir di Taman Seri Desa, Kuala Krau, Temerloh. - Foto Ihsan APM Pahang
Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) menggerakkan operasi membantu memindahkan mangsa banjir di Taman Seri Desa, Kuala Krau, Temerloh. - Foto Ihsan APM Pahang
A
A
A

KUANTAN - Bilangan mangsa banjir yang dipindahkan di negeri ini terus meningkat walaupun keadaan cuaca baik dan tidak hujan pada Isnin.

Sehingga jam 4 petang pada Isnin, bilangan mangsa banjir yang dipindahkan adalah 32,642 orang daripada 8,659 keluarga.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan lebih 1,000 mangsa berbanding 31,522 mangsa daripada 8,317 keluarga pada jam 2 petang.

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, sehingga kini, sebanyak 253 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka melibatkan sembilan daerah yang terjejas.

Menurut laporan itu, Kuantan merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 18,308 orang daripada 4,762 keluarga diikuti Temerloh (5,589 mangsa daripada 1,455 keluarga), Raub (1,891 mangsa daripada 528 keluarga), Lipis (1,907 mangsa daripada 586 keluarga) dan Jerantut (1,851 mangsa daripada 517 keluarga),

Bentong (1,044 mangsa daripada 271 keluarga), Maran (596 mangsa daripada 157 keluarga), Pekan (1,173 mangsa daripada 304 keluarga) dan Bera (323 mangsa daripada 79 keluarga).

Sebanyak tujuh kes kematian direkodkan di negeri ini termasuk empat kematian melibatkan mangsa yang ditemui lemas selepas dihanyutkan banjir lumpur di Bentong pada Isnin.

Artikel Berkaitan: