Bursa Malaysia ditutup rendah

Bursa Malaysia
Bursa Malaysia
A
A
A

DAGANGAN di Bursa Malaysia ditutup rendah seiring dengan sentimen lemah pasaran serantau, didorong oleh kegiatan penjualan berterusan di kaunter berwajaran tinggi terpilih, diketuai oleh Press Metal dan Tenaga Nasional (TNB).

Kedua-dua kaunter berkenaan menyumbangkan gabungan 4.25 mata kepada indeks utama, kata para peniaga.

Pada jam 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 8.11 mata atau 0.54 peratus kepada 1,493.90 berbanding 1,502.01 pada penutupan Jumaat.

Indeks utama dibuka 4.44 mata lebih rendah pada 1,497.57 dan bergerak antara 1,490.77 and 1,502.61 di sepanjang urus niaga.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 682 berbalas 244 manakala 369 kaunter tidak berubah, 1,009 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.47 bilion unit bernilai RM1.73 bilion daripada 2.81 bilion unit bernilai RM2.74 bilion sebelumnya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, ekuiti Malaysia berakhir lebih rendah kerana kebimbangan terhadap penyebaran varian Omicron menyebabkan negara Eropah mengenakan kawalan pergerakan yang lebih ketat dan ini telah mencetuskan penjualan ekuiti di seluruh dunia.

“FBM KLCI telah diheret turun oleh saham perbankan serta minyak dan gas. Indeks serantau utama turut mempamerkan aliran menurun disebabkan alasan yang sama iaitu penularan Omicron.

Artikel Berkaitan:

"Penularan varian Omicron telah mencetuskan kebimbangan dan pengekangan baharu terhadap perniagaan dan perjalanan mungkin memburukkan lagi gangguan rantaian bekalan dan meningkatkan inflasi.

"Bagi bursa tempatan, kami menjangkakan sentimen akan terus kekal berhati-hati dan berpendapat ketidaktentuan luaran sebagai halangan besar," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Thong berkata, indeks penanda aras tempatan diunjur berlegar dalam julat yang lebih luas antara 1,485 hingga 1,500 untuk baki minggu ini.

"Dari sudut teknikal, kami menjangkakan paras rintangan serta-merta pada 1,500 manakala sokongan pada 1,475," tambahnya.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun susut 2.13 peratus kepada 27,937.81, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 1.93 peratus kepada 22,744.86, Indeks Straits Times Singapura lemah 1.26 peratus kepada 3,072.14, manakala Kospi Korea Selatan jatuh 1.81 peratus kepada 2,963.0

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 3.0 sen kepada RM8.11, manakala Public Bank dan IHH Healthcare susut 1.0 sen setiap satu kepada RM4.07 dan RM6.53, Petronas Chemicals turun 2.0 sen kepada RM8.78 dan TNB susut 21 sen kepada RM9. 30.

Bagi saham aktif, DGB Asia tidak berubah pada 3.0 sen, manakala Pasukhas, ATA IMS dan AT Systematization masing-masing susut setengah sen kepada 2.0 sen, 67.5 sen dan 4.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 80.29 mata kepada 10,840.03, Indeks FBMT 100 turun 75.36 mata kepada 10,547.35, dan Indeks FBM Emas Syariah susut 105.50 mata kepada 11,639.13.

Indeks FBM 70 lebih rendah sebanyak 177.39 mata kepada 13,822.46 dan FBM ACE merosot 70.92 mata kepada 6,206.90.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 39.04 mata kepada 15,244.04, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 2.27 mata kepada 194.53, dan Indeks Perladangan berkurangan 77.67 mata kepada 6,429.97.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 1.43 bilion saham bernilai RM1.48 bilion berbanding 1.91 bilion saham bernilai RM2.51 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 225.17 juta unit bernilai RM30.94 juta berbanding 194.05 juta unit bernilai RM26.73 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE mengembang kepada 814.31 juta saham bernilai RM209.94 juta daripada 704.90 juta saham bernilai RM201.60 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 223.48 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (456.03 juta), pembinaan (45.46 juta), teknologi (190.94 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (47.45 juta), hartanah (175.02 juta), perladangan (9.93 juta), REIT (8.15 juta), dana tertutup (89,000), tenaga (68.72 juta), penjagaan kesihatan (117.36 juta), telekomunikasi dan media (27.26 juta), pengangkutan dan logistik (36.36 juta ) dan utiliti (26.71 juta). - Bernama