Najis tikus, lipas ditemui dalam kilang proses mi, kuetiau

Mohd Wazir menunjukkan najis tikus dan lipas yang ditemui.
Mohd Wazir menunjukkan najis tikus dan lipas yang ditemui.
A
A
A

GEORGE TOWN - Sebuah kilang memproses mi dan kuetiau yang mempunyai sijil perakuan halal di sini diarah tutup selama 14 hari selepas didapati mengabaikan aspek kebersihan susulan penemuan najis tikus dan lipas dalam premis berkenaan.

Ketua Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Mohd Wazir Khalid berkata, kilang pengeluar bahan makanan yang turut mendapat pengiktirafan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam program Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) itu juga gagal memastikan kawasan stor penyimpanan bahan mentah selamat mengikut piawaian ditetapkan selepas menemui kotak mengandungi racun atau bahan berbahaya.

Menurut beliau, racun atau bahan lain tidak boleh disimpan bersama makanan di satu tempat kerana bimbang akan menyebabkan pencemaran silang terhadap produk makanan sekali gus boleh mengundang risiko kepada pengguna.

"Walaupun telah mendapat sijil halal dan MeSTI, pengurusan kilang tidak sepatutnya mengabaikan aspek kebersihan apatah lagi membiarkan tikus dan lipas berkeliaran.

Pegawai BKKM menampal notis penutupan yang dikenakan terhadap kilang memproses kicap di Jalan Patani.
Pegawai BKKM menampal notis penutupan yang dikenakan terhadap kilang memproses kicap di Jalan Patani.

"Kesalahan ini adalah perkara serius dan saya akan memanjangkan isu ini kepada jabatan berkenaan supaya menarik balik serta merta sijil dan pengiktirafan kerana soal kualiti serta kebersihan makanan tidak boleh dikompromi," katanya ketika ditemui media semasa Ops Bersih di sini pada pagi Isnin.

Mohd Wazir berkata, pengurusan kilang berkenaan diberi tempoh selama 14 hari untuk membersihkan dan memastikan tempat penyimpanan makanan lebih teratur sebelum dibenarkan beroperasi semula.

Artikel Berkaitan: