'Kami perlukan bantuan'

Keadaan rumah penduduk di Taman Cempaka Sari, Bukit Raja yang dinaiki air.
Keadaan rumah penduduk di Taman Cempaka Sari, Bukit Raja yang dinaiki air.
A
A
A

KLANG - Mangsa banjir di Taman Cempaka Sari, Bukit Raja di sini mendakwa belum terima sebarang bantuan makanan atau keperluan.

Seorang mangsa, Mohd Amir Idris, 40, berkata, kawasan rumahnya dinaiki air sejak Jumaat mengakibatkan dia bersama keluarganya terpaksa menumpang sementara di rumah ibu mentuanya di Taman Klang Utama.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, hujan lebat dan air semakin tinggi.

"Saya terpaksa minta bantuan anggota bomba. Saya juga hanya ada motosikal," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Katanya, lebih menyedihkan sehingga kini dia dan keluarga belum menerima sebarang bantuan makanan dan barangan keperluan lain.

Menurutnya, ketika kejadian difahamkan pusat pemindahan sementara sudah penuh.

Seorang lagi mangsa, Maszura Hadzman, 41, berkata, ketika ini selain barangan makanan, pakaian kanak-kanak antara yang menjadi keperluan.

Artikel Berkaitan:

Motosikal milik Mohd Amir yang ditenggelami banjir. Keadaan rumah penduduk yang dinaiki air pada Ahad.
Motosikal milik Mohd Amir yang ditenggelami banjir. Keadaan rumah penduduk yang dinaiki air pada Ahad.

"Barangan seperti pakaian dan keperluan lain memang tidak dapat nak diselamatkan dan kami terpaksa keluar rumah sehelai sepinggang.

"Jadi saya amat berharap kalau ada pihak yang berkenaan dapat membantu kami," katanya.

Hujan lebat yang berterusan di daerah utama di Selangor termasuk sekitar Taman Klang Utama, Taman Cempaka Sari dan Bukit Raja sejak Jumaat lalu mengakibatkan penduduk terpaksa meninggalkan rumah masing-masing.

Difahamkan, sebahagian penduduk sudah berada di tempat pemindahan sementara di kawasan sekolah dan dewan berdekatan.

Selain itu ada juga penduduk masih terperangkap di kediaman mereka sementara menunggu bantuan makanan dan keperluan asas tiba.