Banjir: 472 kawasan di Selangor alami gangguan bekalan air

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti tugas dan satu loji beroperasi pada pengeluaran separa berikutan peningkatan paras sungai yang mengakibatkan banjir.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataannya memaklumkan, bagi LRA Langat 2 berlaku penutupan bekalan elektrik kecemasan di muka sauk Semantan yang mengakibatkan ketiadaan bekalan air di LRA Langat 2.

Menurutnya, bagi LRA Sungai Langat pula peningkatan paras kekeruhan air yang tinggi mengakibatkan LRA hanya mampu mengeluarkan 40 peratus daripada pengeluaran harian, manakala LRA Cheras Batu 11 terpaksa dihenti tugas berikutan banjir.

"Berikutan henti tugas loji-loji rawatan air ini, sebanyak 472 kawasan di tiga Wilayah iaitu Wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Wilayah Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

"Para pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat menerusi laman sesawang http://hentitugas.airselangor.com/ dan aplikasi Air Selangor.

"Jangkaan untuk LRA Cheras Batu 11, LRA Langat 2 dan LRA Sungai Langat beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini," menurut kenyataan itu di Facebook, pada Ahad.

Kata kenyataan itu, lebih menyulitkan apabila kebanyakan jalan utama ditutup berikutan situasi banjir yang meningkat.

"Air Selangor tidak dapat menggerakkan bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air kepada pengguna dan premis-premis kritikal di kawasan terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini," kata kenyataan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.