Kerjasama Warisan, Muda: UMNO tidak terkesan

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

PADANG TERAP - Kerjasama di antara Parti Warisan (Warisan) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bukan ancaman kepada UMNO mahupun Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tiada halangan untuk mana-mana pihak menubuhkan parti baharu atau menjenamakan semula parti sedia ada memandangkan Malaysia adalah sebuah negara demokrasi.

“Dalam sebuah negara demokrasi, semua orang ada hak menubuhkan parti di mana sahaja atau mahu mengembangkan sayap ke mana sahaja. Kerjasama Warisan dan Muda pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah hak masing-masing untuk memilih.

“Kita tak boleh halang. Kita tengok nanti macam mana, mereka akan jadi sebahagian daripada pasukan, sudah tentu ada kumpulan ketiga pula,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Khidmat Komuniti, Kampung Padang Kerasak, Naka di sini pada Sabtu.

Mahdzir juga percaya keputusan Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia adalah sekadar untuk mencuba nasib.

“Apa pun kena tahu apa naratif dan tujuan (tubuhkan parti). Kalau sekadar mahu merasai ‘berlawan’ atas apa pun faktor, sebenarnya tiada pembelaan untuk rakyat. Yang penting kita menubuhkan parti bukan nak jadi orang parti. Parti itu nak jadi kerajaan dan kerajaan itu mahu bela rakyat,” ujar beliau.

Pada Jumaat, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan parti itu secara rasminya melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia dengan harapan menjadi landasan dalam mengubah landskap politik negara di peringkat nasional.

Selain Muda, Warisan juga terbuka untuk bekerjasama dan membentuk gabungan dengan mana-mana parti lain bagi menghadapi PRU15.

Artikel Berkaitan:

Tegas Mahdzir, UMNO masih menjadi parti yang diterima ramai meskipun ada ahli yang meninggalkannya dan menubuhkan parti baharu.

“Mereka semua asalnya daripada UMNO. Yang keluar (UMNO) pun sudah lama tetapi UMNO tetap kekal sebagai parti yang menjadi pilihan ramai.

“Tun Dr Mahathir Mohamad pun keluar daripada UMNO, Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun daripada UMNO, dan Shafie (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) pun daripada UMNO,” katanya sebagai mengulas tindakan Dr Mahathir juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mempelawa orang Melayu dan bumiputera yang tidak sanggup menyokong UMNO kerana korupsi dan jenayah.