'Ayah adalah guru pertama mendidik, pimpin keluarga'

Dr Ismail Lutfi
Dr Ismail Lutfi
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang bapa merupakan guru pertama dalam sesebuah keluarga yang bertanggungjawab memimpin dan membawa keluarganya kepada ajaran Islam dan menjadikan al-Quran sebagai peneman hidup.

Rektor Universiti Fatoni, Thailand, Prof Madya Dr Ismail Lutfi Japakiya berkata, seorang bapa perlu membawa isteri dan anak-anaknya kepada ajaran Islam dan al-Quran kerana kedatangan Islam memberi penerangan mengenai jalan-jalan yang lurus kepada syurga ALLAH SWT.

“Al-Quran adalah sebagai pembela, penolong oleh ALLAH SWT, peguam yang diberikan kepercayaan.

“Kepada sesiapa yang menjadikan al-Quran sebagai peneman hidupnya maka al-Quran akan membawanya kepada syurga dan sesiapa yang meninggalkan al-Quran di belakang maka al-Quran akan menolaknya ke neraka.

“Itulah hakikat al-Quran bukan sahaja mengajar ilmu tetapi memimpin ke syurga mahupun neraka,” katanya dalam program World #QuranConvention bertajuk 'Fatherless Homes' pada Sabtu.

Ismail Lutfi turut berkata, tanggungjawab seorang bapa adalah untuk mengislamkan anak-anaknya sejak dari kecil sehingga dia meninggal dunia.

Tambahnya, tanggungjawab dan kewajiban bapa bermula daripada anaknya dilahirkan dengan mengazankan di telinganya.

“Sebagai seorang ayah janganlah dibiarkan anak-anak hanya memahami kehidupan Islam tetapi tidak menjadi umat Islam yang sebenar-benarnya.

“Kerana itulah jadikan al-Quran sebagai teman hidup, peluklah al-Quran kerana dia akan menemani setiap langkah dan membimbing kita ke jalan yang diredai ALLAH.

Artikel Berkaitan:

“ALLAH bagi rahmah di dunia ini hanya satu peratus sahaja dan selebihnya adalah di akhirat kelak,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ismail Lutfi berkata, bapa berperanan memelihara diri, isteri dan anak-anaknya dari api neraka dengan al-Quran dan al-Sunnah.

Jelasnya, bapa perlu mula mendidik isteri dan anak-anaknya dengan menjadikan rumahnya sebagai masjid dan ajar mereka menunaikan solat serta membaca al-Quran.

“Jangan jadikan rumahmu bagaikan kubur yang tidak menjaga solat dan membaca al-Quran,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!