Aaron-Wooi Yik perlu lebih agresif

Aaron Chia-Soh Wooi Yik dilihat tidak menampilkan corak permainan yang konsisten sejak kebelakangan ini. - Foto BAM
Aaron Chia-Soh Wooi Yik dilihat tidak menampilkan corak permainan yang konsisten sejak kebelakangan ini. - Foto BAM
A
A
A

PASANGAN beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik disarankan agar mencipta satu senjata ampuh yang mampu menggerunkan lawan terutamanya bagi persiapan menjelang beberapa kejohanan besar tahun hadapan.

Legenda beregu badminton negara, Datuk Razif Sidek berkata, beliau melihat pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo itu tidak menampilkan corak permainan yang konsisten sejak kebelakangan ini.

Menurut Razif, pasangan negara itu mungkin boleh menjadikan pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya dan Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan sebagai contoh di mana gandingan tersebut jelas memiliki senjata yang tersendiri.

“Kalau kita lihat gandingan seperti Marcus-Kevin, Ahsan-Setiawan, kedua-dua mereka ini ada corak permainan yang istimewa di mana kalau Marcus dan Ahsan bermain di belakang lawan akan takut.

“Sebab ketika ini saya lihat mereka bermain tidak konsisten di mana kadang-kadang itu saya lihat Aaron lebih banyak bermain di depan walhalnya cara serangan dia agak kuat berbanding Wooi Yik,

“Jadi dekat sini kita ada kelemahan sedikit, lawan tidak akan takut dan mereka akan bermain dengan lebih tenang kerana tiada tekanan,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar pada Jumaat.

Pencapaian terbaik pasangan yang berada di ranking nombor tujuh dunia tahun ini adalah memenangi pingat gangsa di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang lalu.

Dalam pada itu, Razif turut menggesa agar gandingan negara itu meningkatkan lagi kecergasan yang dilihat akan banyak membantu mereka terutamanya dalam menghadapi kejohanan yang berulang.

Artikel Berkaitan:

“Saya lihat kecergasan mereka masih tak cukup ketika ini. Apabila mereka tidak cergas ia sudah tentu akan bagi kesan kepada cara permainan mereka.

“Jadi saya rasa sebagai pemain profesional mereka sudah tentu tahu apa yang perlu dilakukan bagi meningkatkan lagi tahap kecergasan,”katanya.