Statut Rom undang tiga masalah

A
A

TINDAKAN kerajaan menandatangani dokumen penyertaan sebagai negara ahli bagi Statut Rom (Rome Statute) menimbulkan tiga persoalan besar: pertama dari segi implikasi ke atas Yang di-Pertuan Agong (YDPA) selaku Ketua Angkatan Tentera Malaysia; kedua dari segi tatacara penyertaan yang dilakukan dengan membelakangi raja-raja Melayu; ketiga daripada segi impak ke atas keupayaan total bagi melindungi integriti wilayah (territorial integrity) dan kedaulatan negara.

Pertamanya, implikasi Statut Rom terhadap kedudukan YDPA sebagai Ketua Negara dan juga Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia seperti yang termaktub dalam Perkara 32 (1) dan 42 Perlembagaan Persekutuan jelas boleh digugat Perkara 27 dan Perkara 28 Statut Rom.

Perkara 27 dan Perkara 28 Statut Rom memperuntukkan bahawa “ketua negara dan komander tentera adalah tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) jika mana-mana jenayah tersebut dilakukan oleh mana-mana orang bawahan atau pihak berkuasa negara tersebut”.

Malah, sebarang imuniti atau kekebalan yang diperuntukkan kepada ketua negara dan komander tentera (dalam kes negara kita, Yang di-Pertuan Agong), baik dalam undang-undang negara mahupun undang-undang antarabangsa tidak akan terpakai jika mereka dibicarakan di hadapan ICC, “bila mana pihak berkuasa tempatan atau mahkamah dalaman negara tersebut tidak mampu atau tidak mahu (unable or unwilling) untuk menyiasat atau mendengar dan memutuskan kes-kes berkenaan dengan jenayah-jenayah tersebut”.

Statut Rom mampu mendesak sesebuah negara untuk menangkap ketua negara atau komander tentera yang dituduh melakukan ‘jenayah kemanusiaan’ jika mahkamah dalaman negara tersebut dianggap tidak ‘berkeupayaan’ untuk menangkap atau mendakwa mereka.

Sebagai contoh dalam kes negara kita, disebabkan raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong hanya boleh didakwa di Mahkamah Khas atas kapasiti peribadi (bukan atas kapasiti rasmi), maka mahkamah kita akan dianggap tidak ‘berkeupayaan’ untuk menangkap dan mendakwa ketua negara atau komander tentera kita.

Maka, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di bawah Statut Rom boleh mendesak kerajaan untuk menangkap dan menyerahkan Ketua Negara dan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia kepada ICC, seperti mana yang berlaku kepada Presiden Sudan Omar al-Bashir dan bekas Presiden Libya, Muammar Ghaddafi.

Dari segi tatacara penyertaan pula, pendedahan terkini Tunku Mahkota Johor, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, bahawa keputusan penyertaan Malaysia dalam Statut Rom tidak pernah dibincangkan dalam Majlis Raja-Raja Melayu adalah amat mengecewakan dan tidak sepatutnya berlaku. Mengapa perlu begitu terburu-buru seperti mana dalam kes ICERD dahulu?

Statut Rom juga menghadirkan implikasi buruk ke atas keupayaan total kita untuk mencegah sebarang anasir puak pemisah mahu pun pemberontakan.

Sebagai contoh, dalam situasi hipotetikal, sekiranya gerakan pemisah seperti Gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) menjadi semakin agresif hingga ke tahap melancarkan aktiviti bersenjata, maka Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Angkatan Tentera Malaysia akan berhadapan dilema untuk bertindak balas semaksimum yang mungkin kerana juak-juak ini akan memperalatkan Statut Rom untuk mengheret Baginda ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Satu lagi contoh hipotetikal ialah seperti pencerobohan Lahad Datu oleh Kesultanan Sulu pada 2013 yang mendakwa Sabah sebagai milik mereka. Maka sekali lagi, Statut Rom akan memberi tekanan kepada Yang di-Pertuan Agong seandainya tragedi yang sama berulang kelak. Perlu diingat, Filipina juga masih mengekalkan tuntutan mereka ke atas Sabah dan amat tidak mustahil sebahagian ahli politik mereka menyokong sebarang usaha yang sama untuk memerdekakan Sabah dari Malaysia pada masa hadapan demi kepentingan politik mereka.

Malah, Filipina juga telah keluar daripada menjadi negara ahli Statut Rom dan mereka bebas daripada dilema Perkara 27 dan Perkara 28 Statut Rom.

Tentu sekali, ramai yang memandang sinis akan skala ancaman keselamatan yang boleh meletus di negara kita hingga ke tahap yang memungkinkan Yang di-Pertuan Agong mengambil langkah ketenteraan besar-besaran. Tragedi Lahad Datu 2013 dan hakikat bahawa gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) masih wujud dan licik beroperasi dari dalam dan luar negara gagal untuk diambil iktibar oleh golongan sebegini.

* Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.