MAS akan terus rugi kerana pengurusan tak cerdik: Nufam

Ismail ketika bercakap kepada pemberita dalam sidang media khas di sini, petang ini. - Foto: Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ismail ketika bercakap kepada pemberita dalam sidang media khas di sini, petang ini. - Foto: Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SUBANG JAYA - “MAS (Malaysia Airlines Berhad) akan tetap rugi disebabkan pengurusan yang tidak cerdik.”

Demikian pendapat Presiden Sekretariat Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam), Ismail Nasaruddin ketika mengulas mengenai kemelut melanda syarikat penerbangan nasional berkenaan.

Menurutnya, punca masalah MAS biasanya melibatkan pengurusan tertinggi kerana mereka yang membuat keputusan namun yang menjadi mangsa adalah pekerja bawahan.

Tambah beliau, kerajaan perlu meneliti sebaiknya masalah melibatkan MAS namun beliau merasakan menutup syarikat tersebut bukanlah langkah penyelesaian terbaik.

“Sebelum kerajaan mahu tutup MAS, kaji dari semua segi dan kenal pasti dari mana masalah itu datang. Dulu kata disebabkan ada ramai pekerja, ramai diberhentikan tapi MAS tetap mencatat kerugian.

ARTIKEL BERKAITAN: Tutup MAS: Kerajaan timbang semua kemungkinan

“Nufam pernah kata dulu jangan salahkan pekerja kerana ada syarikat penerbangan mempunyai berbelas ribu pekerja namun tetap mencatatkan keuntungan.

“Perkara perlu dilihat adalah pengurusan tertinggi. Adakah mereka betul-betul boleh pegang jawatan itu dan adakah mereka benar-benar menjalankan tugas dengan sebaiknya,” katanya kepada pemberita dalam sidang media khas di sini, petang ini.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Nufam pernah berkongsi idea dengan kerajaan berhubung pilihan boleh diambil untuk menyelamatkan MAS namun cadangan mereka tidak dipedulikan sebelum ini.

Tegasnya, Nufam sedia untuk terus berkongsi idea kerana MAS sebenarnya sebuah syarikat yang mampu menjana keuntungan jika diuruskan dengan lebih baik.

“Kita cadangkan kepada kerajaan untuk duduk dengan kita, bincang perancangan selamatkan MAS. Masalahnya sekarang mereka tak mahu dengar cadangan dan pilihan untuk selamatkan syarikat itu.

“Pada kami, masalahnya bukan dari pekerja atau orang tengah tapi daripada pengurusan tertinggi. Dari laporan kata disebabkan kenaikan harga minyak dan ekonomi tidak menentu tapi masalahnya kerana kekurangan kecerdikan mereka yang uruskan syarikat itu,” ujar beliau.

Tambah Ismail, mudah untuk mencadangkan supaya MAS ditutup namun impaknya sangat besar terutama kepada ribuan pekerja yang akan kehilangan mata pencarian.

“Ada yang cakap tutup saja MAS, beri cadangan begitu memang senang tapi adaka mereka fikir nasib ribuan pekerja yang hilang kerja selepas MAS ditutup? Sebab itu perlu tahu masalah sebenar.

“Kalau nak tahu masalah sebenar, tanya pekerja MAS, mereka lebih tahu. Kalau jumpa pekerja pun tak pernah tapi nak cakap pasal MAS, saya fikir janganlah,” tegasnya.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mengkaji pelbagai pilihan sebelum membuat keputusan mengenai masa depan syarikat penerbangan negara, MAB.

Beliau berkata isu menutup syarikat penerbangan itu merupakan urusan yang serius dan keputusan akan dibuat secepat mungkin.