Inisiatif baharu KWSP perlu disokong dasar pelengkap

RIA KWSP langkah tepat untuk persaraan tetapi perlu dilaksanakan bersama dasar sokongan yang menyeluruh. Gambar kecil: Mohd Yusof Saari (kiri), Muhamad Zharif Luqman
RIA KWSP langkah tepat untuk persaraan tetapi perlu dilaksanakan bersama dasar sokongan yang menyeluruh. Gambar kecil: Mohd Yusof Saari (kiri), Muhamad Zharif Luqman
A
A
A

PELAKSANAAN Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mulai 1 Januari 2026 menandakan peralihan penting dalam cara simpanan persaraan diurus dan diakses oleh rakyat.

Langkah itu bertujuan membetulkan persepsi lama bahawa simpanan RM1 juta sudah mencukupi untuk menjamin kehidupan selepas persaraan, sedangkan realitinya semakin tidak selari dengan peningkatan kos sara hidup dan jangka hayat yang lebih panjang.

Di bawah pendekatan terdahulu, pengeluaran awal dalam jumlah besar dibenarkan walaupun ia menghakis baki simpanan secara ketara.

Sebagai contoh, seorang ahli berumur 50 tahun dengan simpanan RM1 juta sebelum ini boleh mengeluarkan sekitar RM300,000, meninggalkan baki RM700,000.

Namun, jika tempoh persaraan mencecah 30 tahun sehingga umur 80, baki tersebut hanya menyediakan kira-kira RM1,940 sebulan, satu jumlah yang semakin sukar menampung keperluan hidup apabila mengambil kira inflasi kos perubatan dan perumahan.

Dalam tempoh persaraan yang panjang, pendapatan bulanan yang terhad ini mendedahkan pesara kepada risiko kewangan pada usia tua, khususnya apabila perbelanjaan asas terus meningkat.

Justeru, melalui RIA, KWSP menyusun semula penanda aras simpanan dengan memfokuskan kepada keperluan sebenar persaraan. Simpanan ahli kini dinilai berdasarkan tahap Asas dan Mencukupi, dengan pengeluaran awal hanya dibenarkan sekiranya baki simpanan masih mampu menjamin pendapatan minimum persaraan.

Bagi ahli yang belum mencapai tahap kecukupan, pengeluaran dihadkan dengan ketat atau tidak dibenarkan sama sekali kecuali untuk tujuan tertentu, selari dengan matlamat melindungi simpanan jangka panjang.

Namun, dengan mengetatkan akses terhadap simpanan persaraan ini turut membawa implikasi jangka pendek, khususnya kepada isi rumah berpendapatan rendah dan kumpulan rentan yang bergantung kepada KWSP sebagai sumber kecairan ketika berdepan kejutan kewangan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Ekonomi di Centre for Future Studies Berhad (THE FUTURE), Dr Mohd Yusof Saari berkata, RIA sememangnya langkah yang tepat dari sudut kelestarian persaraan namun kesannya terhadap ekonomi domestik perlu ditangani secara berhati-hati.

“RIA bagus untuk persaraan kerana ia mengurangkan risiko rakyat kehabisan simpanan pada usia tua tetapi dalam jangka pendek, pengetatan pengeluaran boleh menekan permintaan domestik jika tidak disokong oleh dasar lain.

“Jika akses kepada simpanan persaraan diketatkan tanpa jaringan keselamatan sosial kukuh, isi rumah berpendapatan rendah boleh terperangkap antara keperluan tunai segera dan simpanan yang dikunci malah mendorong peningkatan hutang tidak formal,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, data menunjukkan majoriti pencarum berisiko menghabiskan simpanan persaraan lebih awal sekali gus terdedah kepada kemiskinan pada usia tua.

“Simpanan Asas sekitar RM390,000 hanya bersamaan kira-kira RM1,300 sebulan selama 25 tahun iaitu tahap minimum untuk kelangsungan hidup, bukan kehidupan yang selesa.

“Tanpa pengetatan, tekanan kos sara hidup persaraan akhirnya akan dipindahkan kepada keluarga dan kerajaan, mewujudkan beban fiskal serta risiko krisis sosial dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang,” jelasnya.

Mohd Yusof berkata, dari sudut struktur ekonomi, pelaksanaan RIA diperlukan ketika Malaysia berdepan penuaan penduduk, peningkatan jangka hayat serta perubahan pasaran kerja yang memberi tekanan terhadap simpanan persaraan.

“Jangka hayat semakin panjang tetapi simpanan persaraan tidak berkembang seiring manakala pasaran kerja pula berubah dengan peningkatan pekerja sendiri dan gig yang mempunyai caruman tidak konsisten.

“Pada masa sama, krisis pengeluaran besar-besaran semasa pandemik Covid-19 turut menghakis simpanan ramai ahli, sedangkan KWSP kekal sebagai instrumen utama persaraan tanpa perlindungan alternatif yang setara,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Ekonomi, THE FUTURE, Muhamad Zharif Luqman berkata, pengetatan pengeluaran KWSP perlu dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem dasar yang lebih menyeluruh, bukan dilaksanakan secara bersendirian.

“KWSP berfungsi melindungi pendapatan pekerja pada masa hadapan manakala perlindungan sosial bertujuan menangani keperluan kewangan semasa.

“Kedua-duanya perlu bergerak seiring untuk memastikan dasar persaraan benar-benar berkesan,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan RIA sangat bergantung kepada tahap penyepaduan dengan dasar sokongan lain termasuk bantuan kewangan bersasar, perlindungan kehilangan pendapatan dan mekanisme kecemasan alternatif selain KWSP.

“Penyelarasan yang lebih erat antara KWSP, skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan agensi kebajikan juga penting bagi memastikan rakyat tidak tercicir dalam tempoh peralihan dasar ini.

“Pada masa sama, usaha meningkatkan gaji, produktiviti serta literasi kewangan perlu diperkukuh supaya rakyat bukan sahaja dilindungi ketika bersara tetapi mampu membina simpanan mencukupi sepanjang kitaran kehidupan bekerja,” katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!