Apit Wan Lebo tidak mengaku buat komunikasi jelik

Apit Wan Lebo (kanan) atau nama sebenarnya, Roshafeez tiba di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan memulakan penghantaran komunikasi jelik, Mei lalu.
Apit Wan Lebo (kanan) atau nama sebenarnya, Roshafeez tiba di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan memulakan penghantaran komunikasi jelik, Mei lalu.
A
A
A

IPOH - Seorang Youtuber, Apit Wan Lebo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan memulakan penghantaran komunikasi jelik, Mei lalu.

Apit atau nama sebenarnya Roshafeez Abdul Hamid, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan dengan menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook melalui akaun profil ‘Apit Wan Lebo’ jam 1.30 petang pada 9 Mei lalu.

Penghantaran itu telah dibaca di Pejabat Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah kira-kira jam 10.30 pagi pada 10 Mei lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Keshvinder Singh dan Sukdave Singh memohon jaminan rendah dikenakan berikutan tertuduh menanggung lima anaknya serta berniaga nasi lemak dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan di Kuala kangsar.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Norita membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Januari 2022 untuk sebutan semula kes.

Sinar Harian pada 11 Mei lalu melaporkan Polis Perak mengesahkan penahanan Apit Wan Lebor susulan rakaman video bertajuk 'perutusan PKP kome' di Facebook yang tular.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, penahanan tersebut dibuat selepas individu tersebut hadir memberikan keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau berkata, individu tersebut telah mengeluarkan video dan menggunakan perkataan berbaur lucah selain mengkritik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.

Apit Wan Lebo dikenali dengan video jenaka sindiran dalam loghat Perak.