Dah kena saman, sila bayar segera

Orang ramai tidak melepaskan peluang hadir ke kaunter pembayaran kompaun saman trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu. - Foto Bernama
Orang ramai tidak melepaskan peluang hadir ke kaunter pembayaran kompaun saman trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu. - Foto Bernama
A
A
A

PENGURANGAN saman sehingga 80 peratus sempena sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia disambut dengan kelegaan oleh rakyat Malaysia. Diskaun diberi umpama ‘rezeki’ yang meringankan beban dalam waktu sukar pandemik Covid-19.

Balai-balai polis sama ada daerah mahupun kontinjen di seluruh negara diserbu orang ramai yang mahu melunaskan tunggakan saman masing-masing.

Lebih dahsyat lagi, di kaunter Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang dibuka bermula jam 9 pagi hingga 6 petang dilaporkan penuh sesak sehingga diarahkan tutup serta-merta pada petang Jumaat 10 Disember, manakala pihak penganjur dikompaun RM1,000 susulan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, penutupan kaunter pembayaran saman itu kerana tiada penjarakan fizikal dan keadaan sukar dikawal memberikan risiko berlaku penularan jangkitan Covid-19.

Penulis yakin kebanyakan saman yang mahu dibayar itu adalah saman tertunggak yang entah dari tahun bila agaknya, barangkali berlapis-lapis slipnya dan jumlahnya pula pasti lumayan. Dengan diskaun 80 peratus, siapa yang tidak gembira kerana jumlah saman yang banyak pun pasti mampu dibayar.

Ketika orang ramai cemas dan tergesa-gesa mahu merebut diskaun 80 peratus kerana tempoh singkat, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memberi khabar bahagia.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 12 Disember lalu, beliau memaklumkan bahawa tempoh tawaran diskaun hingga 80 peratus itu dilanjutkan sehingga 31 Disember.

Beliau berkata, lanjutan tempoh pembayaran itu bagi memberi peluang kepada orang ramai mengambil sedikit masa menjelaskan saman.

Ternyata, pelanjutan tempoh diskaun saman adalah langkah bijak dibuat PDRM kerana hasil kutipan saman trafik yang berjaya diperoleh dalam tempoh empat hari (9 - 12 Disember) berjumlah RM109 juta selepas 2.3 juta saman trafik diselesaikan di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Bukan sahaja PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) yang sebelum ini melanjutkan tempoh diskaun sehingga 15 Disember turut memaklumkan pada Rabu bahawa pelanjutan tempoh diskaun sebanyak 80 peratus untuk semua notis saman yang boleh dikompaun sehingga 31 Disember.

Jangan pula bila tempoh bayar saman dilanjutkan, kita pula bertangguh. Tahu-tahu sudah sampai hujung bulan dan tempoh tamat, saman masih tak berbayar. Lebih teruk lagi duit untuk bayar saman pun ‘hilang’ entah ke mana.

Ambillah peluang lanjutan tempoh yang diberikan itu dan jangan tunggu hingga saat akhir.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, lanjutan tempoh sehingga 31 Disember bertujuan mengelak orang ramai daripada beratur panjang dan bersesak di kaunter.

“Masyarakat sekarang suka last minute kerana fikir masih ada masa. Akibatnya nanti ramai tertumpu di balai hingga menyebabkan kesesakan dan tiada penjarakan.

“Apabila ada yang tidak dibenarkan masuk, mereka marah polis pula, sebab itu kita galakkan segera ke balai untuk membayar tanpa tunggu tarikh akhir,” kata beliau.

Selain pelanjutan tempoh diskaun, ada juga mencadangkan agar diskaun saman seumpama itu dilaksanakan lagi pada masa akan datang.

Penulis tertanya sendiri, adakah itu bermakna salah laku trafik mahu diulang berkali-kali? Bagi penulis mudah sahaja, kalau tak mahu kena saman, janganlah langgar peraturan.

Saman dikeluarkan PDRM bukan atas dasar suka-suka tapi kerana pelbagai kesalahan jalan raya dan lalu-lintas yang dilakukan.

Setiap kesalahan mempunyai nilai saman berbeza-beza. Justeru, setiap peraturan yang kita ingkari di jalan raya mempunyai harga yang perlu ditanggung.

Sebelum disaman, eloklah jika anda tahu nilai kompaun salah laku trafik yang dikenakan PDRM. Barulah beringat sedikit.

Jadilah pemandu berhemah. Patuhi undang-undang dan hormati pengguna jalan raya yang lain. Jika sudah kena saman, wajib bayar dan jangan buat lagi.

* Puperahaizad Darsono ialah Penyunting Sinar Harian