Caj RM1 tak kena masa

Bank-bank akan mengenakan semula caj RM1 bagi transaksi mesin ATM melibatkan pelanggan bank berlainan bermula 1 Februari 2022. - Gambar hiasan
Bank-bank akan mengenakan semula caj RM1 bagi transaksi mesin ATM melibatkan pelanggan bank berlainan bermula 1 Februari 2022. - Gambar hiasan
A
A
A

PENGUMUMAN bank-bank untuk mengenakan semula caj RM1 bagi transaksi mesin ATM melibatkan pelanggan bank berlainan bermula 1 Februari 2022 ternyata tidak disenangi rakyat.

Rata-rata komentar netizen tidak bersetuju dengan langkah itu ketika ramai orang masih bergelut dengan masalah kewangan kesan pandemik.

Sekali pandang, caj RM1 tidak seberapa nilainya kepada seorang pelanggan. Namun, katalah bank dapat mengutip RM500,000 setiap hari daripada pelanggan menerusi caj mesin ATM, dalam sebulan jumlah terkumpul adalah sebanyak RM15 juta.

Dari segi ekonomi rakyat, RM15 juta itu adalah besar. Wang sebanyak itu boleh menggerakkan ekonomi golongan marhaen, daripada penjaja tepi jalan, peniaga pasar malam hinggalah pemilik kedai dan pasar raya.

Walaupun pengeluaran di mesin ATM bank yang sama tidak dikenakan caj, ia tidak semestinya praktikal.

Mesin ATM kini bukan sahaja ditempatkan di premis bank tetapi turut terdapat di lokasi tumpuan ramai seperti pusat beli-belah, lapangan terbang, kedai serbaneka, stesen minyak dan di institusi pengajian tinggi.

Ramai pelanggan lebih selesa berurusan di mesin ATM yang paling dekat dengan mereka, meskipun terpaksa membayar caj RM1.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pengecualian caj sistem MEPS berkuat kuasa 6 April 2020. Langkah itu bagi membolehkan orang ramai mengeluarkan wang tunai daripada mesin ATM yang berbeza semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa dikenakan caj RM1.

Artikel Berkaitan:

Justeru, tiada salahnya jika kerajaan sekali lagi mengarahkan bank-bank membatalkan rancangan untuk mengenakan bayaran RM1 sehingga tempoh yang difikirkan lebih sesuai.

Apatah lagi, pemegang saham terbesar Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) iaitu syarikat yang mengendalikan sistem MEPS dimiliki Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri, manakala baki sahamnya dikuasai konsortium 11 buah bank.

Tambahan pula, kebanyakan bank melaporkan keuntungan pada suku ketiga berakhir 30 September 2021. Public Bank untung bersih RM4.28 bilion, Maybank (RM1.68 bilion), RHB Bank (RM635 juta) dan Bank Islam (RM101 juta).

Ironinya, penangguhan caj RM1 itu tidak akan merugikan bank dan pada masa sama dapat meringankan beban rakyat.