Hukuman pengarah syarikat pandu melulu, sebabkan kematian kekal

Mahkamah Kuala Lumpur
Mahkamah Kuala Lumpur
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, mengekalkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM7,000 terhadap seorang pengarah syarikat yang disabit kesalahan memandu secara melulu dan menyebabkan kematian seorang pengawal peribadi di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) pada 2018 lalu.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas menolak rayuan Yee Kin Sum, 30, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Ahmad Shahrir berkata, Mahkamah Majistret di sini tidak terkhilaf ketika mensabitkan kesalahan terhadap Kin Sum selaku perayu.

“Mahkamah mendapati sabitan adalah selamat untuk dikekalkan, tiada kekhilafan dalam hukuman oleh Majistret dan tiada alasan untuk mengganggu gugat hukuman itu.

“Rayuan terhadap sabitan dan hukuman ditolak, maka keputusan Majistret mengenai sabitan dan hukuman dikekalkan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa memandu kereta secara melulu dan menyebabkan kematian penumpang lain dalam kereta lain, Juhan Sabturani, 37, di Kilometer 10.7 Lebuhraya MEX di sini pada jam 3.30 pagi, 7 Julai 2018.

Kin Sum didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Hanum Abdul Hadi manakala perayu diwakili peguam, Zulkifli Awang.

Artikel Berkaitan:

Pada 30 September 2020, Kin Sum dipenjara dua tahun dan didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas didapati bersalah kerana memandu secara melulu dan menyebabkan kematian seorang pengawal peribadi, dua tahun lalu.

Majistret, M Saravanan menjatuhkan hukuman itu terhadap Kin Sum setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan Kin Sum dipenjara tiga bulan, jika gagal membayar denda tersebut serta lesen memandunya digantung selama tiga tahun dan butiran kesalahan disahkan pada lesen.

Semasa perbicaraan kes itu yang bermula pada 2019, seramai sembilan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan.

Pada 7 Julai 2018, media melaporkan seorang lelaki yang berada di bahagian tempat duduk penumpang belakang maut selepas kereta yang dinaikinya bersama tiga individu lain bertembung dengan sebuah kereta lain yang dipandu secara melawan arus di lorong kanan.