Pekerja hotel dipenjara tujuh tahun lakukan amang seksual

Malek Saifullizan (tengah) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar Tingkatan Tiga.
Malek Saifullizan (tengah) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar Tingkatan Tiga.
A
A
A

MELAKA - Seorang pekerja hotel yang menjadikan bilik stor tempat untuk melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar Tingkatan Tiga akhirnya menerima balasan setelah dia dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu selepas tertuduh Malek Saifullizan Md Husin, 35, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja di sebuah hotel didapati telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 15 tahun.

Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira jam 5.30 petang di sebuah hotel di Taman Melaka Raya di sini pada 9 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebat.

Mengikut fakta kes, mangsa mendaftar masuk di hotel berkenaan bersama keluarganya pada 9 Disember dan tertuduh yang masih bujang telah mengajak remaja terbabit mengambil bantal di sebuah bilik stor.

Tertuduh bagaimanapun tiba-tiba menyuruh mangsa baring di atas sebuah katil sebelum melakukan perbuatan terkutuk berkenaan.

Bagaimanapun rakan sekerja tertuduh telah masuk ke bilik tersebut dan ternampak mangsa berada di atas katil, sebelum mangsa beredar, tertuduh turut memberi amaran supaya merahsiakan kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya diringankan dengan alasan perlu menjaga ibu dan kakaknya yang sakit.

Sementara itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahida Mohamad memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira faktor jenayah dilakukan adalah serius dan meninggalkan kesan trauma kepada mangsa.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun dan dua tahun tempoh pengawasan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara.