Sila log masuk terlebih dahulu.

DDNK dakwa scammer salah guna nama, tagline

Nazri (tengah) menunjukkan laporan polis yang telah dibuat pada sidang akhbar di sebuah hotel di Kuala Lumpur, pada Rabu.
Nazri (tengah) menunjukkan laporan polis yang telah dibuat pada sidang akhbar di sebuah hotel di Kuala Lumpur, pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pakar pengurusan dan pelaburan kewangan, Datuk Dr Nazri Khan atau lebih dikenali sebagai DDNK mendakwa beliau menjadi mangsa scammer yang melakukan aktiviti penyalahgunaan namanya untuk skim penipuan pelaburan tidak wujud.

Nazri berkata, beliau mengesan ada pihak atau individu yang menggunakan akaun palsu menerusi media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan laman web tertentu serta panggilan telefon untuk melakukan aktiviti penipuan.

"Saya menerima aduan daripada orang ramai yang menjadi mangsa penipuan 'scammer' yang menyalahgunakan nama, poster dan video diri saya dan syarikat Vega Hermosa International Sdn Bhd," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel, di sini pada Rabu.

Nazri berkata, scammer itu turut menggunakan tagline 'Tak Handsome Tak Apa, Janji Kaya' dan petikan kata-kata motivasinya sebagai modus operasi penipuan hingga menyebabkan mangsa kehilangan ribuan ringgit dan ada yang kehilangan puluhan ribu ringgit.

"Setakat ini, saya dan Vega Hermosa sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) serta lebih 20 laporan polis kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK)," katanya.

Nazri mendakwa jumlah kerugian yang dialami setiap mangsa penipuan yang menggunakan nama DDNK dianggarkan antara RM20,000 hingga RM100,000.

"Vega Hermosa mempunyai senarai individu dan agensi tertentu yang menyalahgunakan nama saya untuk menipu orang ramai membuat pelaburan dan dianggarkan lebih 100 individu yang menggunakan nama saya menerusi laman media sosial," katanya.

Menurutnya, sebelum ini SKMM pernah mengambil tindakan menutup laman web syarikat pelaburan 'scammer' itu, namun aktiviti penipuan pelaburan tersebut akan kembali dengan menggunakan laman web atau akaun Facebook yang baharu.

Artikel Berkaitan:

"Aktiviti penipuan menggunakan nama dan syarikatnya semakin ketara sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan 3.0 (PKPP 3.0) pada awal tahun ini," katanya.

Beliau berkata, pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap golongan B40 serta mangsa tinggal di luar bandar yang mudah tertarik dengan tawaran istimewa membuat pelaburan.

"Kebanyakan mangsa penipuan ini dihubungi pihak tertentu yang kononnya menyamar sebagai diri saya atau sebagai pegawai kanan saya yang menawarkan perkhidmatan pelaburan dan pengurusan kewangan yang menjanjikan pulangan tidak munasabah.

"Jangan terperdaya dengan helah mendapat keuntungan 100 peratus dalam jangka masa pendek seperti melabur RM1,000 dan akan memperoleh RM100,000 dalam masa tiga hari," katanya.

Nazri mengingatkan orang ramai supaya menyemak sijil pendaftaran setiap syarikat pelaburan dan pengurusan kewangan melalui laman rasmi Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat sebarang pelaburan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.