Kampung Sting berpotensi jadi destinasi pelancongan

Pemandangan Kampung Sting yang dikelilingi dengan hutan ketika tinjauan baru-baru ini.
Pemandangan Kampung Sting yang dikelilingi dengan hutan ketika tinjauan baru-baru ini.
A
A
A

PADAWAN - Penduduk Kampung Sting, kira-kira 40 kilometer dari Bandaraya Kuching mengharapkan kemudahan asas yang lebih baik supaya kawasan itu dapat dimajukan sebagai destinasi pelancongan.

Tarikan seperti air terjun dan landskap alam semula jadi mampu menggamit kehadiran pelancong, namun kampung itu memerlukan kemudahan seperti bekalan elektrik dan liputan telekomunikasi termasuk internet yang baik selain tandas awam, jalan bertar serta jeti.

Anak jati Kampung Sting, Timis Bangai, 38, berkata, kemudahan asas amat diperlukan bukan sahaja bagi memudahkan kehidupan harian penduduk tetapi juga sebagai nilai tambah kepada kawasan itu untuk dijadikan destinasi pelancongan.

“Memang perlukan internet di kampung ini sebab susah nak dapat liputan, cuma ada di satu dua tempat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Timis adalah antara penduduk yang memilih untuk terus tinggal di kampung itu yang terletak di kawasan Empangan Bengoh dan hanya mempunyai kira-kira 20 rumah.

Sebelum ini, sebilangan penduduk kampung di sekitar empangan itu yang terjejas dipindahkan ke Skim Penempatan Semula Bengoh iaitu Rejoi, Semban, Taba Sait dan Pain Bojong.

Beliau berkata, ketika ini semakin ramai pelancong berkunjung ke lokasi menarik seperti Air Terjun Kampung Sting manakala tempat pendakiannya sering tular di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Pelancong tempatan beristirahat sambil menikmati pemandangan hutan ketika tinjauan di salah satu rumah inap desa yang terletak di Kampung Sting. - Foto Bernama
Pelancong tempatan beristirahat sambil menikmati pemandangan hutan ketika tinjauan di salah satu rumah inap desa yang terletak di Kampung Sting. - Foto Bernama

“Senanglah nanti kalau pelancong atau pengunjung nak datang, kemudahan itu untuk orang ramai yang datang juga,” katanya.

Kampung Sting terletak di Mambong, satu daripada 82 kawasan Dewan Undangan Negeri yang dipertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada Sabtu ini.

DUN itu bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru dengan penyandang Datuk Dr Jerip Susil daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dicabar oleh Sanjan Daik daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Chang Hon Hiung (DAP), Chong Siew Hung daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) dan Joshua Roman daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK). - Bernama