Cadangan pindaan Akta 342 dibentang di Parlimen Khamis ini

Dr Noor Hisham (kanan) pada Sesi Libat Urus Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta 342 Bersama para pengamal Media di Kementerian Kesihatan pada Selasa. Foto Bernama
Dr Noor Hisham (kanan) pada Sesi Libat Urus Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta 342 Bersama para pengamal Media di Kementerian Kesihatan pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) dapat dipinda secepat mungkin dengan memasukkan Ordinan Darurat berkaitan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pindaan 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pindaan itu bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan Akta 342 dalam membendung penularan jangkitan penyakit berjangkit terutama wabak Covid-19.

"Ordinan Darurat tidak lagi dapat dilaksanakan kerana ditamatkan pada 25 Oktober bagi Dewan Rakyatdan 8 Disember bagi Dewan Negara," katanya pada sidang akhbar Sesi Libat Urus Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta 342 Bersama para pengamal Media di kementeriannya di sini pada Selasa.

Menurutnya, cadangan pindaan Akta 342 itu akan dibentang di Parlimen Khamis ini.

"Pada Khamis (16 Disember) isu tersebut akan dibahaskan di Parlimen untuk mendapatkan pandangan dan persetujuan

“Kalau ada persetujuan, ia boleh diluluskan. Kebimbangan KKM, jika perbahasan berpanjangan mungkin akan tergendala dan memberi kesan kepada KKM mengawal penyakit berjangkit," katanya.

Beliau memberitahu, denda untuk Akta 342 hanya RM1,000 kepada individu dan syarikat dan menjadikannya kurang berkesan.

"Sekiranya pindaan berjaya dilakukan, kompaun antara individu dan juga syarikat berbeza,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, tujuan pindaan dilakukan bagi memastikan kesinambungan penguatkuasaan peruntukan-peruntukan di bawah Ordinan Darurat.

"Ia juga bagi menyeragamkan pelaksanaan penguatkuasaan dalam kalangan pegawai agensi-agensi lain yang diberi kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Pindaan ini juga menambah baik Akta 342 berdasarkan pengalaman berkaitan perundangan dan penguatkuasaan semasa wabak Covid-19 dan supaya relevan dengan situasi dan teknologi semasa dalam kawalan wabak,” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, sekiranya pindaan tersebut tidak diluluskan, kesannya ialah tiada kesinambungan penguatkuasaan peruntukan-peruntukan di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang telah dijalankan sebelum ini.

"Pelaksanaan pelbagai aspek pindaan akan terganggu dan tergendala terutama berkaitan kawalan pandemik Covid-19.

“Sekiranya tidak dipinda secepat mungkin, sidang Parlimen seterusnya enam bulan dari sekarang, sekali gus menjejaskan kesinambungan dan keberkesanan penguatkuasaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kawalan Penyakit, Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, KKM mencadangkan lima pindaan dan lima peruntukan baharu bagi Akta 342 bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan membendung pandemik Covid-19.

Menurutnya, pindaan bagi Akta 342 membabitkan Seksyen 2 (tafsiran), Seksyen 10 (kehendak supaya memberitahu mengenai penyakit berjangkit), Seksyen 24 (penalti am), Seksyen 25 (pengkompaunan kesalahan) dan Seksyen 31 (kuasa membuat peraturan-peraturan).

Bagi tambahan peruntukan pula, ia melibatkan Seksyen 14A iaitu pengasingan atau pengawasan orang yang dijangkiti dan orang yang disyaki, Seksyen 15A (perintah untuk memakai atau menggunakan peranti pengesanan dan sebagainya), Seksyen 21A (arahan ketua pengarah).

“Bagi Seksyen 21B pula kuasa penyiasatan, Seksyen 21C (kuasa untuk memberikan maklumat) dan Seksyen 22A (kesalahan oleh pertubuhan perbadanan)," katanya.