Sri Aman bakal kecapi pembangunan

Malcolm Mussen Lamoh
Malcolm Mussen Lamoh
A
A
A

SRI AMAN - Sri Aman akan dibangunkan agar setanding dengan pembangunan di bahagian lain di Sarawak, kata Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Industri dan Pembangunan Usahawan, Datuk Malcolm Mussen Lamoh.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 itu berkata, pembangunan itu akan diselia oleh Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) dan menyasarkan projek tertentu sama ada infrastruktur atau kemudahan membabitkan pembiayaan alternatif.

"Seluruh bahagian di Sri Aman boleh bergerak seiiring dengan pembangunan di bahagian lain. Jika tidak, ia akan ketinggalan dan terpaksa bergantung kepada bajet negeri atau pembiayaan daripada kementerian dan jabatan yang berkaitan," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini di Lubok Antu berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia, kira-kira lima jam perjalanan dari Kuching.

Setakat ini, SADA telah meluluskan 48 projek pembangunan di Bahagian Sri Aman berjumlah RM1.18 bilion dan projek itu dijangka bermula tahun depan serta dibangunkan di bawah peruntukan pembiayaan alternatif.

"Pelaksanaan dan operasi keseluruhan projek tertentu akan dilakukan oleh pelabur dan penyedia teknologi. Langkah itu akan meningkatkan pembangunan di kawasan tersebut sementara menunggu pembiayaan biasa.

"Terdapat banyak pelabur yang memiliki produk tertentu yang ingin mereka bangunkan. Kami memiliki banyak sumber asli yang boleh dibangunkan sebagai produk khusus, jadi kita boleh dapatkan pasaran yang baik," kata Malcolm sambil menambah pelabur terbabit telah mengenal pasti pasaran berpotensi bagi projek terbabit.

Menyentuh mengenai Batang Ai, Malcolm yang juga penyandang kerusi DUN itu berkata daerah tersebut telah diletakkan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi projek komunal yang berlangsung dan penambahbaikan rumah panjang serta kampung berhampiran.

"Pelaksanaan pada mulanya agak rumit kerana membabitkan perbelanjaan kewangan dan kami perlu mematuhi arahan perbendaharaan.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, kini ia lebih pantas kerana RTP dilaksanakan melalui pejabat daerah atau jabatan teknikal seperti Jabatan Kerja Raya," katanya.

Beliau berkata terdapat sedikit kelewatan dalam pelaksanaan projek terbabit susulan pandemik Covid-19.

"Setakat ini, bagi kawasan saya, semua RTP (yang digariskan pada) 2021 sudah berada di lapangan. Kami mempunyai senarai projek pada 2022 yang telah diluluskan dan boleh dilaksana dengan segera," katanya.

Mengulas persaingan empat penjuru di DUN Batang Ai, Malcolm yakin mampu mempertahan kerusi itu.

"Bagaimanapun, kami masih perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan pengundi keluar mengundi. Di satu kawasan, kami mempunyai satu pasukan untuk melakukan pemantauan bagi memastikan rakyat keluar mengundi," katanya.

Beliau akan ditentang oleh Usup Asun daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK), William@Nyallau Badak daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan John Linang Mereejon (Bebas).

Pada pilihan raya lepas, Malcom menewaskan calon PKR Kolien Liong dengan majoriti 3,186 undi. - Bernama