Buli: Mara tamatkan pengajian 10 pelajar MRSM

Video tular berdurasi 10 saat itu, kelihatan sekumpulan pelajar mengambil giliran untuk menumbuk serta menendang seorang pelajar lain di asrama sekolah.
Video tular berdurasi 10 saat itu, kelihatan sekumpulan pelajar mengambil giliran untuk menumbuk serta menendang seorang pelajar lain di asrama sekolah.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Jawatankuasa Disiplin Bahagian Pendidikan Menengah Mara menamatkan pengajian 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara, MRSM yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli yang tular baru-baru ini.

Azhar
Azhar

Menurut Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf, mesyuarat telah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan menamatkan pengajian pelajar terbabit berkuat kuasa pada Selasa.

“Pihak Mara mengambil serius kejadian buli yang berlaku minggu lalu dan hukuman yang telah diputuskan ini menunjukkan pihak kita tegas dan tidak berkompromi terhadap kesalahan buli dalam kalangan pelajar-pelajar di bawah mana-mana Institusi Pendidikan Mara, Institusi Pendidikan Mara (IPMa) mahupun tajaan Mara.

“Ibu bapa pelajar terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis Perak siasat video buli pelajar sekolah

Tujuh pelajar, mangsa dipanggil beri keterangan

Buli: Empat pelajar ditahan bantu siasatan

Artikel Berkaitan:

Buli: Dua lagi pelajar ditahan

Mara diarah lakukan siasatan terperinci kes buli pelajar

“Keputusan penamatan pengajian itu dibuat berdasarkan garis panduan yang telah dinyatakan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM,” katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Selasa.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, keputusan ini bukan sahaja menjadi satu pengajaran kepada pelajar yang terlibat, tetapi juga kepada pelajar-pelajar yang lain agar tidak berlaku lagi perbuatan salah laku di mana-mana institusi pendidikan di bawah Mara.

Tambah beliau, Mara tentunya hendak melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan tetapi juga mempunyai sahsiah diri dan tingkah laku peribadi yang baik serta diterima oleh masyarakat.

“Pihak Mara bersungguh-sungguh dalam menangani kes-kes buli dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) melalui penguatkuasaan peraturan sekolah.

“Selain melaksanakan pemantauan secara berterusan segala aktiviti pelajar termasuk proses pembelajaran di dalam kelas bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang,” ujarnya.