KPI 100 hari bukannya titik, 'koma' sahaja: Abd Latiff

Abd Latiff Ahmad
Abd Latiff Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pencapaian jemaah menteri dan kementerian bukan hanya disasarkan setakat yang terkandung dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 100 hari sahaja, Dewan Rakyat diberitahu, pada Selasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, terdapat banyak perkara lagi yang perlu diselesaikan dan ruang menambah baik oleh pihak kerajaan.

“Petunjuk Prestasi Utama 100 hari Jemaah Menteri bukan titiknya, itu koma (tanda dalam tulisan) sahaja, ada banyak lagi perkara pokok yang kementerian dan menteri kena selesaikan selama Yang Berhormat Bera jadi Perdana Menteri,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di sini.

Abd Latiff menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai justifikasi atau bagaimanakah pengiraan yang mengesahkan pencapaian 90 peratus yang dianggap terlalu tinggi dalam pentadbiran 100 hari Perdana Menteri.

Kee Chin juga meminta dinyatakan kementerian yang memperoleh markah tertinggi dan terendah serta rancangan seterusnya untuk menambah baik apa-apa kelemahan sedia ada.

“Yang Berhormat Rasah minta supaya dinyatakan markah tertinggi dan terendah (kementerian), ini biarlah guru besar (Perdana Menteri) simpan, tak perlu guru-guru kecil dapat tahu, dia pun baru sahaja jadi guru besar, bagi peluang pada dia,” katanya.

Abd Latiff berkata, pencapaian KPI diukur berdasarkan Perkhidmatan Teras Kementerian (50 peratus), Penilaian Prestasi Menteri (25 peratus) dan Persepsi Awam (25 peratus) terhadap menteri serta kementerian.

Sebelum ini, ketika berucap merasmikan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata prestasi keseluruhan KPI 100 hari Jemaah Menteri mencapai tahap 90 peratus.

Artikel Berkaitan:

KPI itu ditetapkan setelah beliau dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan melibatkan 140 sasaran untuk dilaksanakan sepanjang tempoh 100 hari pentadbirannya.

Ia membabitkan 31 menteri daripada lima kluster iaitu kluster Menteri Kanan, ekonomi, sosial, keselamatan dan infrastruktur. - Bernama