Penternak rugi RM14,000, 7 ekor kambing dibaham harimau kumbang

Gambar kiri: Anggota Perhilitan memasang perangkap di sekitar lokasi pada Isnin.- Foto ihsan pembaca . Keadaan kambing milik Ngah yang ditemui mati di dalam bangsal dengan kesan dibaham haiwan buas.
Gambar kiri: Anggota Perhilitan memasang perangkap di sekitar lokasi pada Isnin.- Foto ihsan pembaca . Keadaan kambing milik Ngah yang ditemui mati di dalam bangsal dengan kesan dibaham haiwan buas.
A
A
A

MARANG- Seorang penternak kambing di Kampung Bukit Kor, Rhu Rendang, di sini mendakwa kerugian hampir RM14,000 apabila tujuh ekor kambingnya dibaham harimau, sejak 2 Disember lalu.

Serangan terbaru berlaku pada Rabu dan Jumaat lalu mengorbankan empat ekor kambing milik Ngah Abdul Ghani, 53, yang mati dipercayai dibaham harimau kumbang.

Ngah berkata, dia mula menternak 14 ekor kambing daripada pelbagai spesies termasuk jenis Boer dengan meletakkan di dalam satu bangsal kambing yang dibina kira-kira 30 meter sahaja dari rumahnya.

"Baru setahun saya cuba menternak kambing untuk mengisi masa lapang, sebelum ini memang saya pernah dimaklumkan penduduk setempat yang sekitar lokasi ini banyak terdapat haiwan buas antaranya harimau, tapir dan beruang.

"Tetapi alhamdulillah sepanjang saya berulang alik ke bangsal memang tidak pernah terserempak dengan haiwan buas tetapi selalu nampak kesan tapak kaki haiwan, cuma tak tahu tapak kaki haiwan apa," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Ngah berkata, kejadian pertama disedari pada 2 Disember lalu apabila tiga ekor kambing ternakannya mati di dalam bangsal.

"Terkejut melihat keadaan itu, saya terus membuat pemeriksaan dan mendapati ada kesan gigitan pada leher ketiga-tiga ekor ternakan terbabit.

"Saya turut membuat pemeriksaan di sekitar lokasi bangsal sebelum menemui dapati kesan tapak kaki yang pada awalnya saya sangka tapak kaki babi hutan," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ngah, kejadian berikutnya berlaku pada Rabu dan Jumaat lalu yang mengorbankan empat ekor lagi ternakannya yang mempunyai tanda-tanda seperti dibaham haiwan buas.

"Saya kemudian melaporkan kejadian ini kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu untuk tindakan lanjut.

"Selepas menerima laporan, anggota Perhilitan sudah datang ke lokasi untuk membuat siasatan dan saya dimaklumkan menerusi kesan tapak kaki ditinggalkan dan kesan gigitan terhadap kambing yang mati, Perhilitan yakin ternakan saya dibaham harimau kumbang.

"Pihak Perhilitan juga ada memasang satu perangkap berhampiran bangsal kambing kira- kira jam 10 pagi pada Isnin tetapi sebelum itu mereka sudah datang ke lokasi beberapa kali untuk membuat pemeriksaan," katanya.

Bagaimanapun usaha Sinar Harian untuk mendapat penjelasan daripada pihak Perhilitan berkait kejadian tersebut gagal.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Azman Ibrahim menjelaskan, pihaknya ada menerima aduan penduduk kampung berkaitan kejadian berkenaan.

"Kami difahamkan pihak Perhilitan juga sudah memasang perangkap di sekitar lokasi dan saya juga sudah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri kemukakan satu laporan untuk tujuan penyaluran bantuan bencana pertanian negeri," jelasnya.