Penduduk Bukit Sari mahu agenda pembangunan luar bandar diperhebat

Petugas parti politik ketika memasang poster dan sepanduk sebagai bahan kempen bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 baru-baru ini.
Petugas parti politik ketika memasang poster dan sepanduk sebagai bahan kempen bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 baru-baru ini.
A
A
A

LAWAS - Pembangunan infrastruktur luar bandar terus menjadi dambaan dan aspirasi rakyat di daerah paling hujung di utara Sarawak merangkumi pengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari dan Ba’kelalan.

Bagi penduduk di kedua-dua DUN, pembangunan infrastruktur luar bandar amat penting untuk memastikan rakyat di pedalaman tidak ketinggalan dalam arus pemodenan seperti yang dinikmati di bandar.

Ini termasuk kemudahan kesihatan lebih baik, jaringan jalan raya serta infrastruktur telekomunikasi dan internet lengkap terutama dalam keadaan pandemik Covid-19 yang menuntut rakyat menjalankan urusan harian, termasuk aktiviti pendidikan, secara dalam talian.

Pengundi Bukit Sari, Engku Mohamad Bakar, 45, yang menetap di Trusan berkata, walaupun terdapat projek pembangunan di Lawas, rakyat di kawasan itu mahukan lebih banyak usaha dilakukan bagi menaik taraf kemudahan asas melibatkan bekalan air bersih di beberapa kampung.

“Pembangunan yang kita ada sekarang memang bagus, cuma kita berdepan kesukaran bekalan air yang tidak mencukupi di kampung-kampung,” katanya yang merupakan antara 13,054 individu yang layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Hari mengundi ditetapkan pada 18 Disember ini.

Senada dengan beliau, Molin Jalun, 36, pula berkata, beberapa kawasan di Lawas masih tidak memiliki kemudahan telekomunikasi berikutan faktor muka buminya yang berbukit-bukau.

“Terdapat beberapa kampung tidak mempunyai sebarang capaian internet dan telefon menyebabkan kami terpaksa keluar dari kampung untuk ke jalan utama dan kadang-kadang ke pekan Lawas hanya untuk mendapatkan liputan telekomunikasi yang lebih baik,” kata ibu kepada empat anak itu.

Artikel Berkaitan:

Daerah Lawas, yang terletak di bahagian Limbang, adalah lokasi paling hujung di Sarawak bersempadan dengan Sabah serta Brunei manakala kawasan Ba’kelalan pula bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia.

Lawas yang memiliki keadaan geografi amat mencabar, memerlukan pembangunan infrastruktur terancang memandangkan ia hanya boleh diakses menggunakan pengangkutan udara, air (feri atau bot laju) atau jalan darat melalui Brunei atau Kota Kinabalu.

Kerajaan negeri Sarawak telah mengumumkan pakej pertama pembinaan projek mega Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah (SSLR) bagi menghubungkan Lawas-Limbang-Miri tanpa melalui Brunei sepanjang 77 kilometer yang bakal memberi manfaat dan memacu pembangunan sosioekonomi penduduk.

Pengundi DUN Ba’kelalan, Dayangku Siti Syah Bakar, 55, pula mengharapkan lebih banyak premis perniagaan seperti kedai dibina untuk kemudahan peniaga, nelayan dan petani tempatan.

Pengusaha restoran itu berkata, bilangan premis perniagaan yang terhad menyebabkan mereka terpaksa berebut untuk mendapatkan premis sedia ada di kawasan tersebut.

Bagi peniaga sayur-sayuran dan hasil hutan, Yohana Kalat, beliau berharap keadaan jalan raya di kampung yang masih ketinggalan serta belum berturap terus diberi perhatian oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata, jalan raya di kampung terbabit perlu dinaik taraf untuk kemudahan penduduk.

“Kemudahan internet pun penting... anak-anak belajar secara dalam talian tetapi disebabkan internet di kampung tidak berapa baik, maka kehadiran anak kami ‘ya ya’ (ala kadar) sajalah,” katanya. - Bernama