Jumlah bekalan tenaga primer meningkat 2.8 peratus

Suruhanjaya Tenaga
Suruhanjaya Tenaga
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Tenaga (ST) memaklumkan jumlah bekalan tenaga primer meningkat sebanyak 2.8 peratus pada tahun 2019 berbanding 1.8 peratus pada tahun 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif ST, Abdul Razib Dawood berkata, jumlah bekalan tenaga primer yang didaftarkan sebanyak 98,609 kilo tan minyak setara (ktoe) dan semua bahan api mencatatkan peningkatan kecuali arang batu, yang mana menunjukkan pertumbuhan negatif sebanyak 5.5 peratus.

“Ini berikutan import arang batu lebih rendah pada 2019 berbanding tahun sebelumnya terutama di Semenanjung Malaysia.

“Gas asli mempunyai bahagian terbesar sebanyak 42 peratus, diikuti minyak mentah, produk petroleum dan lain-lain (33.3 peratus), arang batu dan kok (21.4 peratus), manakala tenaga boleh diperbaharui (3.4 peratus),” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sesi taklimat bersama media mengenai imbangan tenaga nasional (NEB) 2019, iaitu laporan tahunan ST yang berfungsi sebagai rujukan data tenaga rasmi untuk Malaysia secara dalam talian pada Isnin.

NEB meliputi tiga bidang utama iaitu bekalan tenaga, transformasi tenaga dan penggunaan tenaga untuk semua jenis bahan api termasuk gas asli, minyak mentah, petroleum, arang batu dan kok, elektrik dan tenaga boleh diperbaharui (RE).

Mengulas lanjut Abdul Razib berkata, bagaimanapun tidak semua tenaga primer boleh digunakan secara langsung dalam bentuk bahan mentah kerana ada yang terpaksa menjalani penukaran atau proses transformasi untuk menukar kepada tenaga sekunder yang boleh digunakan dalam sistem tenaga.

“Sebagai contoh, minyak mentah dalam bentuk tenaga utamanya tidak boleh digunakan. Ia mesti ditapis di loji penapisan untuk menukarnya kepada bahan api yang boleh digunakan seperti petrol dan diesel yang mana kebanyakannya digunakan dalam kenderaan.

Artikel Berkaitan:

“Di Malaysia, terdapat tiga jenis proses transformasi antaranya kilang penapisan minyak, loji pemprosesan gas dan jana kuasa,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan statistik pada tahun 2019 juga, ia telah melihat bagaimana bekalan tenaga dan permintaan berkorelasi dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, ia secara tidak langsung membuktikan betapa pentingnya tenaga dan ekonomi.

“Malaysia dikurniakan sumber asli yang banyak untuk tenaga seperti minyak, gas asli, arang batu, serta tenaga boleh diperbaharui.

“Justeru, kami mempunyai campuran tenaga yang seimbang yang tidak berkompromi dengan keselamatan tenaga kami. Bukan sahaja dari segi keselamatan, kami berusaha untuk mencapai keseimbangan dalam semua dimensi,” ujarnya.