Peniaga bazar kraftangan derita bau busuk didakwa air kumbahan

Keadaan di Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan di Banda Hilir didakwa dinaiki air kumbahan hingga menimbulkan rasa kurang selesa pelanggan dan peniaga pada Ahad. (Gambar kecil: Abd Halim, Kadir)
Keadaan di Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan di Banda Hilir didakwa dinaiki air kumbahan hingga menimbulkan rasa kurang selesa pelanggan dan peniaga pada Ahad. (Gambar kecil: Abd Halim, Kadir)
A
A
A

MELAKA - Lebih 70 peniaga Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan di Banda Hilir, di sini resah memikirkan kedai mereka yang didakwa ditenggelami air berpunca dari sistem kumbahan bangunan itu.

Mereka turut mendakwa mengalami kerugian selain ketidakselesaan pelanggan sejak 15 tahun lalu.

Peniaga kraftangan, Abd Halim Hamzah, 48, mendakwa, Badan Pengurusan Bersama (JMB) berjanji membaiki pam dan menyelenggara sistem saliran dengan baik namun sehingga kini masalah itu tidak selesai.

Beliau berkata, peniaga terpaksa menanggung kerugian dan pelancong juga dilihat tidak selesa apabila datang untuk membeli cenderamata.

Malah menurutnya, bau busuk yang meloyakan itu berlaku lagi ketika peniaga menerima pengunjung berikutan cuti sekolah dan hari minggu pada Ahad.

"Peniaga di sini berharap kerajaan negeri dapat menamatkan kesengsaraan kami.

"Sangat memalukan. Imej Melaka sebagai negeri pelancongan tercalar dengan keadaan dan bau yang meloyakan ini," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Ujarnya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) juga sentiasa membantu namun masalah berkenaan di luar bidang kuasa mereka.

Artikel Berkaitan:

Peniaga pakaian, Harlikah Rasmijan, 49, juga buntu memikirkan masalah itu terutama ketika semua peniaga baru mahu 'bernafas' semula ekoran pandemik Covid-19.

Harlikah menunjukkan keadaan dinding dan lantai kedai di Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan di Banda Hilir yang didakwa berpunca dari air kumbahan.
Harlikah menunjukkan keadaan dinding dan lantai kedai di Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan di Banda Hilir yang didakwa berpunca dari air kumbahan.

Menurutnya, setiap kali hujan lebat kawasan itu bukan sahaja dinaiki air berwarna hitam malah mengeluarkan bau busuk.

Norliah Acob, 55, pula berkata, sekiranya kedai kraftangan dinaiki air dia terpaksa mengambil masa sehari untuk membersihkan air yang berbau busuk itu.

Menurutnya, jika air kumbahan mengalir pada hari Sabtu dan Ahad atau cuti sekolah sudah pasti pendapatan lebih terjejas kerana pelancong dan pelanggan lebih ramai pada hari-hari tersebut berbanding hari biasa.

"Kalau air naik pelancong sukar melalui kawasan ini dan tidak selesa dan kesannya terpaksa ditanggung peniaga," katanya.

Sementara itu Pengerusi Kebajikan Bazar Kraftangan itu, Kadir Ahmad, 45, kecewa apabila nasib peniaga bazar dipandang sepi dan masih tidak mendapat pembelaan.

Menurutnya, daripada 100 buah kedai, kini tinggal 75 peniaga sahaja yang masih bertahan walaupun terpaksa meredah air kumbahan itu.

"Kami minta JMB dapat memberikan kerjasama, situasi ini juga akan memberikan imej tidak baik Melaka kepada pelancong luar," katanya.

Abdul Rahim Md, 54, berkata, mereka turut merayu supaya pihak berkaitan dapat mempromosi lokasi yang menjual pelbagai barangan termasuk makanan tradisional kepada orang ramai.

"Ada juga pelancong masih tidak tahu tempat ini dan kita harap kerajaan dapat membantu memperkenalkan kepada orang ramai," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian masih berusaha untuk mendapatkan maklum balas pihak JMB berhubung dakwaan peniaga di bazar berkenaan.