Labur modal RM4,200 mahu jadi isteri 'menteri'

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita sanggup mengeluarkan 'modal' RM4,200 demi memenuhi hasratnya menjadi isteri seorang 'menteri' yang dikenali melalui laman sosial Facebook, awal bulan ini.

Mangsa berusia 59 tahun yang bekerja sebagai guru tadika itu juga dijanjikan hadiah wang tunai RM1 juta dan sebuah kereta mewah jenis Rolls-Royce sekiranya bersetuju untuk menjadi isteri lelaki itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, lelaki tersebut menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp bagi menyatakan hasratnya itu.

Menurutnya, sekiranya mangsa setuju, dia diminta berurusan dengan seorang wanita bernama Siti yang bertugas sebagai pengurus bank kepada 'menteri' itu.

"Mangsa yang bersetuju untuk menjadi isteri lelaki tersebut diminta membuat bayaran RM4,200 sebagai yuran proses perkahwinan mereka.

"Pada Jumaat lalu, mangsa membuat bayaran seperti diminta melalui mesin deposit sebuah bank ke akaun bank atas nama seorang lelaki," katanya melalui satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Wazir berkata, selepas bayaran itu dibuat, mangsa mula curiga dan syak bakal suaminya itu penipu yang menyamar dengan menggunakan nama menteri berkenaan.

"Mangsa yang mengalami kerugian RM4,200 tampil membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan itu diambil mangsa kerana bimbang dengan keselamatan diri, keluarga dan hartanya di kemudian hari," katanya.

Tambah beliau, polis percaya suspek menggunakan identiti salah seorang menteri untuk menipu mangsa hingga mengalami kerugian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!