Minta perketat SOP sukan berpasukan

Akhyar antara pemain Harimau Malaya yang dijangkiti Covid-19.
Akhyar antara pemain Harimau Malaya yang dijangkiti Covid-19.
A
A
A

PROSEDUR operasi standard (SOP) bagi atlet dan pegawai terutamanya melibatkan acara sukan berpasukan harus diperketat bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

Perkara itu ditegaskan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa yang menganggap SOP yang diguna pakai ketika ini agak longgar.

Menurut beliau, jika perkara tersebut diabaikan, ia sudah tentu akan memberi impak buruk kepada pasukan terlibat dalam menghadapi kejohanan di luar negara.

“Saya lihat ketika ini SOP sukan berpasukan sedikit longgar berbanding sebelum ini yang mana pemain, jurulatih dan pegawai bebas berjumpa dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan melakukan aktiviti harian seperti biasa.

“Saya rasa mana-mana pihak yang terlibat dengan sukan berpasukan harus lebih berhati-hati supaya tak terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19.

“Sekarang apa yang terjadi pada skuad bola sepak Harimau Malaya dan pasukan hoki lelaki dan wanita negara. Sudah ada kes Covid-19 membabitkan pemain bola sepak dan hoki negara,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, arena sukan negara dikejutkan dengan berita pemain Harimau Malaya serta pemain skuad hoki lelaki dan wanita negara disahkan positif Covid-19.

Di kem Harimau Malaya, empat pemain dilaporkan telah dijangkiti Covid-19 iaitu Khairulazhan Khalid, Faisal Halim, Akhyar Rashid dan Quentin Cheng.

Artikel Berkaitan:

Pemain hoki wanita negara, Nurul Faezah Shafiqah Khalim pula dikesan positif sebaik tiba di Donghae, Korea Selatan sehingga menyebabkan Malaysian Tigress terpaksa pulang awal daripada menyertai Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita 2021.

Terbaharu, penyerang berbisa skuad hoki lelaki negara, Faizal Saari disahkan positif Covid-19 sebelum The Speedy Tigers membuat keputusan menarik diri daripada menyertai ACT 2021 di Dhaka, Bangladesh yang bermula Selasa ini.

“Ini yang kita risaukan kerana situasi itu secara tidak langsung memberi kesan kepada pasukan berkenaan. Jadi sesuatu harus dilakukan bagi mengelak situasi lebih buruk.

“Sebagai salah satu langkah terbaik, atlet perlu mengambil dos penggalak dengan segera jika mereka layak untuk mendapatkannya sebab mereka antara golongan yang berisiko dijangkiti Covid-19.

“Kita tidak mahu mendengar ada lagi kes membabitkan atlet negara dijangkiti Covid-19, baik sebelum atau ketika mereka sedang menyertai kejohanan di luar negara,” ujarnya.