Sila log masuk terlebih dahulu.

MIC cadang MITRA dikembalikan ke Jabatan Perdana Menteri

Tan Sri S A Vigneswaran
Tan Sri S A Vigneswaran
A
A
A

KUALA LUMPUR - MIC mencadangkan supaya unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang kini diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dikembalikan ke Jabatan Perdana Menteri.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran juga mencadangkan agar MITRA distruktur semula fungsi dan peranannya, seiring dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Beliau juga meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mempertimbangkan cadangan supaya dana yang dipulangkan kepada Perbendaharaan oleh MITRA sehingga kini, dikembalikan kepada Yayasan MITRA yang akan ditubuhkan dan diuruskan oleh penjawat awam.

“Kita akur bahawa MITRA atau SEDIC (Unit Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India) sebelum dijenamakan semula, telah menghadapi pelbagai kekangan dalam membelanjakan RM100 juta yang diperuntukkan setiap tahun dalam masa yang ditetapkan.

“Akibatnya, terpaksa memulangkan lebih daripada RM400 juta sehingga kini kembali kepada Kementerian Kewangan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung MIC ke-75 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Ahad.

Beliau memberitahu, walaupun kerajaan telah memperuntukkan dana khas tersebut bagi usaha transformasi masyarakat India, tetapi ia tidak diguna pakai disebabkan MITRA tidak dapat mematuhi prosedur kewangan yang sedia ada.

Sementara itu, Vigneswaran berkata, MIC menyeru kerajaan untuk menambah bilangan kelas tadika di sekolah Tamil, di mana murid-murid juga diberi sarapan dan guru disediakan dengan bahan pengajaran.

Katanya, perkara itu telah dipersetujui dan mula dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) lepas, namun ia tergendala selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)

Artikel Berkaitan:

MIC turut mencadangkan supaya penubuhan semula Jawatankuasa Khas Kabinet Masyarakat India dalam usaha menjayakan pelaksanaan Pelan Tindakan Masyarakat India (MIB) untuk membangunkan masyarakat India di negara ini.

Ismail Sabri yang hadir ke perhimpunan itu turut berucap pada perhimpunan itu.

Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan MIC itu dirasmikan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - Bernama