Lanjutan tawaran saman: Orang ramai dinasihat tidak serbu kaunter

Shahnaz (kanan) meninjau proses pembayaran saman trafik di IPD Yan pada Ahad.
Shahnaz (kanan) meninjau proses pembayaran saman trafik di IPD Yan pada Ahad.
A
A
A

YAN - Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji menasihatkan orang ramai agar tidak menyerbu kaunter bayaran memandangkan tawaran pengurangan saman trafik sehingga 80 peratus dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

Beliau berkata, jumlah kaunter di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan akan dibuka seperti sebelum ini iaitu tiga kaunter semakan dan dua kaunter bayaran.

Katanya, lanjutan tempoh tawaran itu membantu mengurangkan kesesakan yang berlaku di semua lokasi bayaran saman.

"Di IPD Yan setakat ini, keadaan masih terkawal dengan 11 kekuatan penugasan iaitu seorang pegawai, enam anggota dan empat pegawai awam.

"Cuma kita harap orang ramai tidak berpusu- pusu untuk melunaskan bayaran saman masing-masing kerana kita masih ada tempoh yang agak panjang untuk berbuat demikian," katanya ketika ditemui di IPD Yan di sini pada Ahad.

Menurutnya, bermula Khamis sehingga jam 1 petang pada Ahad, pihaknya berjaya mengutip bayaran kompaun sebanyak RM362,130 dengan jumlah 7,660 keping saman.

"Setakat ini, tiada rekod individu membayar saman dalam jumlah yang besar mencecah ribuan ringgit, kebanyakan yang datang melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju," katanya.

Shahnaz menambah, pihaknya sentiasa mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) di samping keselesaan orang ramai yang terpaksa menunggu giliran masing- masing.

Artikel Berkaitan:

"Kita menggunakan sistem penggiliran nombor dan menyediakan kerusi untuk keselesaan mereka. Ini juga untuk mengelakkan kejadian pengunjung berkumpul beramai-ramai tanpa menjaga SOP," katanya.

Sementara itu, seorang pembayar saman, Mohd Nasir Bokri, 48 berkata, dia mengambil keputusan untuk membayar saman di kaunter kerana lebih mudah berbanding secara dalam talian.

"Saya datang tadi jam 2.30 petang, dapat nombor ke-100. Alhamdulillah tempat tunggu selesa ada kerusi dan tak panas, kita tunggu saja giliran," katanya.

Bagi Norjuliana Yaacob, 31, keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melanjutkan tempoh tawaran berkenaan ​tepat dan sangat dinanti-nantikan oleh orang ramai.

"Ramai yang merungut sistem MyBayar Saman tak dapat diakses, jadi cara yang kami ada cuma datang beratur di kaunter sahaja.

"Mujur juga tawaran ini dilanjutkan, jadi yang datang lambat hari ini, masih lagi ada peluang untuk dapat tawaran yang sama pada hari lain," katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah dalam satu sidang akhbar pada Ahad memaklumkan, PDRM telah memutuskan untuk memberi peluang kepada semua rakyat menyelesaikan kesemua saman-saman tertunggak mereka dengan kadar yang sama sehingga 31 Disember ini.

ARTIKEL BERKAITAN:Tempoh diskaun saman trafik dilanjutkan sehingga 31 Disember ini