SPRM nafi tahan Presiden PBK

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Dakwaan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan pagi tadi adalah tidak benar.

SPRM dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan dakwaan agensi itu mengejar Voon juga tidak benar.

Menurut SPRM, agensi itu telah beberapa kali cuba menghubungi Voon sebelum ini namun gagal dan hari ini, beliau dikesan berada sekitar Kenyalang Park di sini.

Kenyataan itu menyebut pihak SPRM juga telah menjelaskan kepada Voon mengenai keperluan beliau hadir ke pejabat agensi berkenaan bagi membantu siasatan berhubung klip video yang disebarkannya dalam tempoh kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12.

“Beliau juga turut diserahkan notis hadir pemeriksaan Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 sebagaimana kehendak undang-undang.

“SPRM hanya menyampaikan notis pemakluman untuk beliau memberikan kerjasama dalam siasatan. Voon juga telah memberi kerjasama dan telah menghadirkan diri ke pejabat SPRM Kuching pada pagi ini untuk membantu siasatan,” menurut kenyataan itu.

SPRM menjelaskan pihaknya sentiasa menjaga etika dan bersifat profesional semasa menjalankan tugas berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Lee Shan dilaporkan mendakwa beliau telah ditahan oleh pegawai SPRM ketika memandu melintasi Kenyalang Park selepas kenderaannya diarahkan berhenti. - Bernama

Artikel Berkaitan: