X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Rasuah: Kaya duniawi, miskin akhirat

Program singgah santun Konvoi #RasuahBusters di Pasar Tani Stadium Shah Alam pada Ahad. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor (Gambar kecil: Muhammad Bukhari)
A
A

SHAH ALAM - Perbuatan rasuah tidak pernah menjanjikan kesenangan sebenar walaupun mampu memperoleh keuntungan sangat besar, namun hakikatnya tetap miskin dalam isu moral.

Perkara itu ditegaskan Exco Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor, Muhammad Bukhari Nordin yang menyatakan balasan daripada perbuatan memakan makanan menerusi sumber haram adalah neraka kerana ia perbuatan mencuri hak individu lain.

Menurutnya, konsep amanah dan integriti sangat ditekankan sebagai acuan hidup bermasyarakat terutama di Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum serta kepercayaan.

Muhammad Bukhari berkata, semua agama menolak amalan buruk termasuk memberi dan menerima rasuah.

"Konsep ini jelas terpakai bukan hanya untuk mereka yang beragama Islam, malah meliputi sesiapa saja dengan apa pun anutan dan fahaman.

"Realiti harus diterima bahawa amanah dan integriti adalah dua perkara penting yang menjadi cerminan kepada keimanan seseorang Muslim.

"Sesungguhnya rasuah tidak pernah menjanjikan kesenangan yang sebenar walaupun kita beroleh keuntungan yang sangat besar daripadanya. Ketahuilah, hasil yang diperoleh melalui rasuah adalah haram dan tidak berkat," katanya semasa berucap dalam program singgah santun Konvoi #RasuahBusters di Pasar Tani Stadium Shah Alam pada Ahad.

Menurut Muhammad Bukhari, orang Islam yang melakukan rasuah, ibadah solat dan doa-doanya tidak diterima oleh ALLAH SWT.

Katanya, bagaimana satu-satu doa itu mahu dikabulkan oleh ALLAH SWT sedangkan tangan yang ditadah digunakan untuk menerima dan memberi rasuah.

Selain itu tambahnya, individu yang memakan harta secara batil seperti rasuah adalah tergolong sebagai orang yang muflis di akhirat kelak.

"Kumpulan yang melakukan perbuatan rasuah, di akhirat kelak segala amal kebajikannya diambil dan diberikan kepada orang yang pernah dizaliminya di dunia dahulu.

"Namun jika amalannya tidak mencukupi untuk menebus dosa-dosanya, maka kejahatan orang yang dizaliminya itu akan dipindahkan kepadanya kemudian dia dimasukkan ke dalam neraka," katanya.

Katanya, rasuah tidak sesekali akan berlaku jika seseorang itu berpegang teguh kepada ajaran agama, selain sentiasa memantapkan keimanan dan ketakwaan serta takut kepada ALLAH SWT.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!