Pemilihan parti selepas PRU15 lebih sesuai, elak perpecahan

Noor Azleen ketika ditemui pada Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Molek di sini pada Sabtu.
Noor Azleen ketika ditemui pada Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Molek di sini pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemilihan parti sama ada di peringkat nasional mahupun negeri wajar dilakukan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk memastikan keharmonian parti terus dikekalkan.

Pandangan itu disuarakan Exco Pemuda UMNO Pusat, Noor Azleen Ambros yang turut melihat kestabilan dalaman parti adalah penting sekali gus memberi jaminan semua pihak mampu bekerjasama tanpa sebarang keraguan.

"Perpecahan boleh berlaku sekiranya pemilihan parti dibuat sebelum PRU15. Jika ia terus berlarutan, kita akan rugi kerana semua perkara terganggu termasuk jentera dan fokus parti.

"Selain itu, kepimpinan parti dicadangkan untuk mengadakan PRU lebih awal bagi mengambil mesej jelas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang mana rakyat mahukan kestabilan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Molek di sini, pada Sabtu.

Noor Azleen yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, pihaknya melihat kemenangan di Melaka itu satu isyarat jelas bahawa rakyat mahu satu pentadbiran oleh parti yang lebih dominan serta kukuh pentadbirannya.

“Selaku parti politik perlu ambil tanggungjawab untuk kembalikan kestabilan ini, apabila kestabilan politik dapat dikembalikan banyak perkara boleh selesai sekali gus akan uruskan negara keluar daripada pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai status bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Noor Azleen mengakui pemimpin berkenaan masih mempunyai pengaruh yang boleh membawa impak positif kepada parti.

Artikel Berkaitan:

"Pemuda berharap ahli parti melihat beliau daripada dua sudut berbeza dan mengasingkan antara kes mahkamah sebagai isu peribadi dan mengharapkan perbicaraan yang adil buat beliau.

"Namun pada masa sama, kita perlu akui populariti dan pengaruh beliau di dalam dan di luar parti, itu kita tidak boleh nafi bahawa UMNO masih memerlukan pengaruh beliau,” katanya.

Beliau berkata, isu kredibiliti Najib adalah perkara kedua malah beliau juga telah dihukum, namun pengalamannya sebagai ketua kerajaan selama beberapa tahun harus diambil kira.

“Kita perlu anggap yang masalah ini dalam dua sudut, Datuk Seri ada isu kredibiliti seperti dijatuhkan hukuman oleh mahkamah tetapi jangan lupa beliau mempunyai pengalaman menguruskan negara dan sekiranya beliau ingin memberikan saranan, kita tetap kena hormati.

“Datuk Seri Najib sudah banyak membantu, malah pengaruhnya dalam semua siri PRN atau Pilihan Raya Kecil (PRK) amat besar, ini tidak boleh dinafikan dan semestinya beliau masih mempunyai ruang sebagai aset penting dalam parti,” katanya.