Tanggung derita hidu bau busuk

Penduduk menutup hidung sebagai tanda protes bau busuk di kawasan perumahan mereka.
Penduduk menutup hidung sebagai tanda protes bau busuk di kawasan perumahan mereka.
A
A
A

PELABUHAN KLANG – Lebih 100 keluarga di Taman Teluk Gedung Indah, di sini, menanggung derita apabila terpaksa berdepan pencemaran bau sejak dua tahun lalu.

Bau busuk itu didakwa daripada tapak pelupusan sampah kira-kira 30 meter dari kawasan perumahan yang didakwa tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Teluk Gedung Indah, Zulkifli Saad, 47, berkata, bau busuk setiap hari itu mengganggu aktiviti harian mereka.

Katanya, kawasan itu sebelum ini merupakan Hutan Simpan Teluk Gedung dan dipenuhi pokok bakau.

“Namun, sejak dua tahun lalu, kawasan itu dibersihkan dan ditambak, tidak lama kemudian ada lori buang sisa pepejal dan sampah domestik di situ.

“Semakin lama kawasan pembuangan sampah haram itu semakin luas, malah longgokan sampah semakin menggunung," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kini tapak pelupusan sampah itu semakin hampir dengan rumah penduduk menyebabkan mereka terpaksa menghidu bau busuk setiap masa.

Zulkifli berkata, individu di kawasan tapak pelupusan sampah seluas kira-kira 1.2 hektar itu kini semakin aktif beroperasi walaupun pihaknya sudah membuat aduan kepada pihak terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Awal pagi sudah ada lori keluar masuk ke kawasan berkenaan. Bunyi jengkaut menimbus sampah jelas kedengaran dari kawasan kejiranan kami ini,” katanya.

Katanya, sebelum ini kerja-kerja di tapak itu dihentikan seketika selepas pihak berkuasa membuat pemeriksaan namun kini beroperasi semula.

“Jadi sampai bila isu ini akan berakhir. Kami juga yang jadi mangsa dan terpaksa berdepan bau busuk setiap hari,” tegasnya.

Tapak pelupusan yang dilihat semakin hampir dengan kawasan kediaman.
Tapak pelupusan yang dilihat semakin hampir dengan kawasan kediaman.

Kesihatan penduduk terjejas

Penduduk, Badrulzaman Md Nasir, 47, turut mendakwa kesihatan penduduk terjejas kerana bau yang bukan sahaja daripada sampah tetapi bahan kimia dan cecair hitam.

Dia bimbang lebih ramai penduduk dimasukkan ke hospital berikutan sebelum ini sudah ada yang mengalami keadaan itu.

Md Nasir yang sudah 17 tahun menetap di kawasan perumahan itu turut mendakwa penduduk berdepan masalah lalat menyebabkan ketidakselesaan berganda.

“Sampai bila kami terpaksa menanggung masalah ini gara-gara perbuatan tak bertanggungjawab orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, wakil Kawasan Rukun Tetanggan (KRT) taman berkenaan, Jamil Sainu, 61, berkata, ekosistem juga terjejas akibat perbuatan rakus pihak terbabit.

Katanya, kawasan berkenaan yang dipenuhi pokok bakau sebelum ini menjadi habitat monyet kini kotor dan menjijikkan.

“Habis pokok bakau ditolak jengkuat dan tertimbus. Haiwan itu juga hilang tempat tinggal. Kalau dulu mungkin aktiviti mereka tidak dapat dikesan, tapi sekarang makin jelas sebab kebanyakan pokok di situ dah makin pupus ,” katanya.

Air sungai melimpah

Seorang lagi penduduk, Mior Badrul Anwar, 50, berkata, penduduk di Jalan Sungai Sama Gagah 21, 23 dan 24 paling terjejas kerana hampir dengan tapak pelupusan sampah itu.

“Nak buka pintu rumah pun tak boleh sebab bau busuk terlalu kuat, lebih-lebih lagi pada waktu malam. Malah jemaah surau berhampiran juga tak selesa dengan keadaan ini,” katanya.

Ujarnya, disebabkan aktiviti menambak tapak pelupusan itu, Sungai Sama Gagah yang terletak berhampiran perumahan mereka semakin tertimbus.

“Hal ini menyebabkan air sungai melimpah masuk ke halaman rumah serta surau, lebih-lebih lagi jika air pasang besar dan hujan lebat.

Justeru, Mior berharap pihak berkuasa memantau kawasan itu supaya masalah diselesaikan

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke lokasi berkenaan mendapati, jengkuat di tapak pelupusan sampah itu sedang beroperasi, namun tiada aktiviti keluar masuk lori sampah ke kawasan berkenaan.

Tapak pelupusan sampah itu juga terlalu hampir dengan kediaman penduduk serta mengeluarkan bau.