Mental, fizikal perlu lebih lasak

Zii Jia antara pemain yang menggalas cabaran di Kejuaraan Dunia di Huelva.
Zii Jia antara pemain yang menggalas cabaran di Kejuaraan Dunia di Huelva.
A
A
A

KELESUAN dan tiada ketahanan fizikal kuat boleh menyebabkan prestasi dalam kalangan atlet negara merudum apabila mengharungi kepadatan jadual kejuaraan berintensiti tinggi merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam era norma baharu.

Malah menurut pakar kecergasan dan suaian fizikal, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, Profesor Madya Dr Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, seseorang atlet itu perlu mengamalkan sifat profesionalisme dan lebih bersedia dari aspek fizikal dan mental bagi berdepan sesuatu kejuaraan yang lebih kompetitif selepas ini.

“Malah sebenarnya dalam era baharu pelaksanaan program latihan atlet prestasi tinggi yang moden, pelbagai aplikasi sains dan teknologi sukan boleh diterapkan bagi memastikan atlet dapat bersaing di pentas antarabangsa dengan lebih konsisten.

“Pengurusan latihan dan jadual pertandingan atlet dengan menggunakan kaedah Pelan Periodisasi dan Pemantauan Beban Latihan (Training Load Monitoring) yang sistematik mengikut saranan saintifik dengan menggunakan peralatan khusus ‘wearable device’ mampu memberikan informasi berkaitan beban latihan atau pertandingan, mengurangkan risiko kecederaan, meningkatkan prestasi serta dapat memastikan atlet sentiasa berada pada tahap yang optimum sepanjang tahun.

“Selain itu, pelaksanaan strategi pemulihan fizikal dan mental yang komprehensif juga akan dapat membantu atlet beraksi dengan lebih cemerlang pada setiap kejohanan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Arena sukan negara sebelum ini khususnya dalam acara badminton dibelenggu prestasi turun naik dalam kalangan pemain senior negara dalam beberapa kejohanan kebelakangan ini.

Kepadatan jadual selain dihimpit kecederaan disifatkan antara faktor menjadi punca kepada prestasi kurang ampuh beberapa pemain seperti pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia.

Pada masa sama Raja Mohammed Firhad menegaskan atlet negara perlu menjadikan situasi yang berlaku pada era Covid-19 ini sebagai satu kelaziman baharu dalam karier masing-masing pada masa depan.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya ISN (Institut Sukan Negara) memiliki tenaga pakar untuk membantu atlet dalam proses persediaan atlet untuk menyertai jadual kejohanan yang ketat.

“Jurulatih pun saya percaya dalam situasi Covid-19 yang melanda dunia pada ketika ini akan lebih memberikan tumpuan kepada mengembalikan prestasi atlet masing-masing dalam kejuaraan tertentu sebelum mensasarkan matlamat untuk kejuaraan besar.

“Jadi apa yang perlu dilakukan atlet sepanjang tempoh ini adalah untuk mengembalikan semula rentak ke tahap terbaik secara berfasa selepas beberapa lama tidak beraksi dalam beberapa kejuaraan sebelum ini akibat Covid-19,” katanya.

Mengulas penampilan Zii Jia yang menggalas cabaran di Kejuaraan Dunia di Huelva Sepanyol yang bermula 12 hingga 19 Disember ini, Raja Mohammed Firhad berkata: “Prestasi dan pencapaian Zii Jia dalam kejuaraan penutup tirai kalendar badminton tahun ini bergantung kepada pelan latihan periodisasi pemain tersebut.

“Saya berharap beliau akan memberikan persembahan yang terbaik, tidak mengalami kecederaan dan menggunakan kejuaraan ini sebagai persediaan bagi mengharungi kejuaraan yang lebih besar pada masa depan.”

Pemain berstatus nombor tujuh dunia itu dijadualkan membuka kempen menentang pemain Kanada, Jason Anthony Ho-Shue dalam kejuaraan yang disertai pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen tanpa kelibat bintang Jepun, Kento Momota, Jonatan Christie dan Anthony Ginting (Indonesia) serta Chen Long dan Shi Yuqi (China).