Diskaun 80 peratus, orang ramai tidak lepaskan peluang

Mohd Farhaan
Mohd Farhaan
A
A
A
JOHOR BAHRU - Peluang membayar saman dengan potongan harga sehingga 80 peratus yang diumumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini tidak dilepaskan oleh sebahagian besar rakyat di Johor.

Tinjauan Sinar Harian di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) di sini mendapati, pengunjung sudah mulai hadir seawal jam 8.00 pagi untuk menunggu giliran dipanggil bagi membuat semakan saman.

Rata-rata pengunjung beratur dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kawalan Covid-19 dengan menunggu di bawah khemah lengkap dengan penjarakan fizikal yang disediakan oleh Polis Johor.

Seorang tentera dari Kem Tebrau di sini, Muhd Jafri Md Isa, 39, berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk menyelesaikan semua saman tertunggak sejak 2016 lalu dengan harga yang mampu dibayarnya.

“Memang rezeki sangat apabila kerajaan umum perkara ini. Sebenarnya saya ada empat saman pandu laju, kalau ikut semua sekali boleh cecah ribuan ringgit, cuma kali ini saya bayar RM180.

“Kalau tiada pengurangan begini memang susah sikit nak bayar kerana nilainya besar. Jadi, saya gembira apabila kerajaan buat bantuan begini,” katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.

Sementara itu, seorang kerani, Zaidi Mokhtar, 44 berkata, dia beratur dari awal pagi kerana tidak mahu berebut dan menunggu lama untuk membayar semua saman dimilikinya.

“Saya datang awal untuk bayar hari ini, sebab mulanya tidak pasti betul ke ada pembayaran sehingga 80 peratus. Alhamdulillah semua dah selesai dan saya hanya bayar RM120 sdaripada saman keseluruhan RM900,” katanya.

Seorang kakitangan swasta, Mohd Farhaan Shah Nazaruddin, 35, pula berkata, usaha dilakukan kerajaan itu adalah sesuatu yang baik selain memahami keperluan rakyat terutama ketika pandemik Covid-19 ini.
Artikel Berkaitan:


“Untuk hari ini sebenarnya saya nak periksa dahulu berapa saman ada, jika banyak saya selesaikan dahulu. Cuma apa yang saya lihat usaha macam ini memang bagus.

“Dalam keadaan sekarang, kita faham kerajaan mahu rakyat selesaikan saman atas kesalahan dibuat. Jadi, jika ada pertimbangan untuk murah macam ini saya sokong, bukan semua mampu nak bayar sekali gus waktu Covid-19 macam ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Deputi Superintendan Khairul Azhar Ismail berkata, sejak Selasa (9 Disember), pihaknya telah menerima kira-kira RM1.6 juta pembayaran saman dijelaskan oleh orang awam di semua kaunter pembayaran.

"Jumlah ini adalah membabitkan 35,026 saman yang dijelaskan di seluruh negeri bagi kesalahan di bawah Pol 170A iaitu pandu laju, halangan lalu lintas dan mengabaikan isyarat lalu lintas.

“Selain itu, saman ini juga termasuk kesalahan di bawah Pol 257 iaitu kesalahan tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, ubah suai kenderaan dan guna telefon semasa memandu,” katanya.

Justeru, beliau berharap orang ramai dapat menggunakan sepenuhnya peluang yang diberi ini untuk menjelaskan saman mereka sempena harga diskaun 80 peratus sehingga 12 Disember ini.

"Saman boleh dibayar di 14 cawangan trafik di setiap ibu pejabat polis daerah di negeri ini. Kaunter mula dibuka jam 8.30 pagi hingga 5 petang," katanya.