Kerajaan berdepan kesan negatif jika model pelaksanaan 5G DNB ditukar

Kenyataan akhbar oleh Muhyiddin pada Sabtu.
Kenyataan akhbar oleh Muhyiddin pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan menukar model pelaksanaan rangkaian 5G yang diterajui oleh Digital Nasional Berhad (DNB) bakal memberikan beberapa implikasi negatif kepada reputasi kerajaan, kata bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, antara risiko tersebut adalah kehilangan keyakinan oleh pelabur disebabkan perubahan pendirian kerajaan dan implikasi serius dari aspek kewangan dan perundangan ke atas negara dan DNB disebabkan isu pelanggaran atau penamatan kontrak.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, langkah menukar model tersebut juga akan mengakibatkan negara kehilangan penjanaan ekonomi berjumlah RM122 bilion menjelang tahun 2030 seperti yang dilaporkan oleh kajian yang dijalankan oleh Ernst & Young Sdn Bhd (EY).

“Kerajaan akan kehilangan kos peluang, atau ‘opportunity cost’ pihak industri dalam memperolehi keuntungan memandangkan rangkaian 5G akan mengguna pakai infrastruktur sedia ada untuk meningkatkan kecekapan.

“Seterusnya kerajaan juga bakal kehilangan sokongan bagi sehingga 15,000 pekerjaan berkaitan pembangunan rangkaian 5G, serta gangguan terhadap penciptaan 148,000 pekerjaan di dalam ekonomi secara keseluruhannya, yang sepatutnya mendorong peralihan ekonomi kepada pekerja berkemahiran tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

DNB merupakan sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang ditubuhkan Kementerian Kewangan pada Februari lalu untuk mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur dan rangkaian 5G di Malaysia dengan kos keseluruhan berjumlah RM16.5 bilion.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa pada 7 Disember lalu dilaporkan berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengkaji semula penggunaan model Rangkaian Borong Tunggal, atau Single Wholesale Network (SWN) di bawah DNB selepas mendapat maklum balas daripada pihak industri.

Annuar berkata, kerajaan akan mempertimbangkan sama ada untuk mewujudkan beberapa pembekal bagi penyediaan rangkaian 5G tersebut dan membenarkan persaingan antara pemain industri.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, model SWN yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan mempunyai kelebihan untuk melaksanakan rangkaian 5G dengan pantas, pada kos paling rendah dan kualiti yang lebih baik.

“Model SWN yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyediakan akses yang adil dan sama rata kepada semua syarikat telekomunikasi seterusnya menggalakkan persaingan yang berfokuskan perkhidmatan kepada pelanggan.

“Selain itu, SWN juga tidak akan terlibat di dalam pasaran runcit berdasarkan model perniagaan syarikat dan juga syarat lesen oleh SKMM,” katanya.

Katanya, syarikat telekomunikasi telah mengambil masa tujuh tahun untuk mencapai liputan 4G di kawasan berpenduduk sebanyak 82.2 peratus manakala DNB pula sebaliknya menyasar 5G dapat dilancarkan kepada lebih 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang 2024.